Kembang layar ke Semenanjung, Warisan pasti karam

271

SETELAH mengalami kekalahan memalukan di gelanggang sendiri, Parti Warisan Sabah (Warisan) mengubah strategi dengan membuka cawangan di Semenanjung Malaysia.

Walau bagaimanapun, hasrat yang disuarakan Presiden Warisan Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal itu boleh dipersoalkan kewajarannya.

Beliau memberi alasan kononnya kira-kira 300,000 rakyat Sabah yang bekerja di Semenanjung mahu Warisan mengembangkan layarnya merentasi Laut China Selatan.

Tidak pasti pula jika semua 300,000 orang itu penyokong totok Warisan kerana mungkin ada juga yang menyokong Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) atau tidak memihak mana-mana parti.

Selain itu, Warisan sendiri gagal mempertahankan kuasa di Sabah sekali gus membuktikan pengaruhnya tidak kuat di sana.

Bagaimana parti yang ditolak rakyat Sabah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini boleh diterima di Semenanjung?

Mohd Shafie menggunakan alasan dua parti Sabah iaitu Parti Bersatu Sabah (PBS) dan UPKO melakukan langkah serupa satu ketika dahulu.

Namun kini di mana kedua-dua parti Sabah itu dalam setiap pilihan raya di Semenanjung kebelakangan ini?

Tidak pernah pula kita lihat logo PBS dan UPKO dipamerkan dalam pilihan raya di luar Sabah.

Sebagai parti yang pekat dengan sentimen kenegerian, Warisan juga bakal berdepan nasib yang sama sekiranya ‘idea luar biasa’ Mohd Shafie itu direalisasikan.

Memang Warisan ingin mengetengahkan konsep penyatuan rakyat seperti yang selalu dicanangkan parti itu di Sabah.

Cuma konsep itu bukan sesuatu yang baharu dalam gelanggang politik Semenanjung kerana formula konsensus pelbagai parti yang mewakili kepentingan rakyat berbeza latar belakang telah diamalkan sejak merdeka lagi.

Bermula dengan gagasan Perikatan dan kemudian diteruskan oleh Barisan Nasional (BN) serta disegarkan semula dalam kerangka Perikatan Nasional (PN) yang memerintah negara ketika ini.

Jadi, apa yang istimewanya tentang konsep penyatuan atau ‘unity’ yang ingin dibawa oleh Warisan ke Semenanjung? Tiada apa yang ‘gempak’ pun.

Jika hendak memperjuangkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), perkara itu boleh dilakukan dengan baik oleh kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang sehaluan dengan kerajaan PN di Pusat.

Malah, kerajaan PN juga dilihat benar-benar komited dalam menunaikan MA63 agar rakyat di Sabah dan Sarawak menerima manfaatnya.

Jauh berbeza dengan semasa era Pakatan Harapan (PH) dahulu yang ‘cakap tak serupa bikin’ walaupun Warisan yang pernah mentadbir Sabah merupakan sekutu mereka.

Senang cerita, Warisan patut berpuas hati dengan status ‘jaguh kampung’ di Sabah dan tidak perlu memandang jauh ke Semenanjung.

Kita bimbang nanti bahtera Warisan ditebuk pula oleh kawan-kawan sendiri dan karam dalam pelayaran di Laut China Selatan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.