Gabungan perdana PN, BN dan GPS hadapi PRU-15

406

13 DIS: PAS menyambut baik cadangan pembentukan gagasan besar melibatkan Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, majoriti kepimpinan bersetuju dengan cadangan penubuhan gabungan perdana bagi memastikan kemenangan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Menurut beliau, penubuhan gagasan itu merupakan satu langkah positif namun perkara itu memerlukan masa untuk direalisasikan.

“Sehingga kini kita dapati majoriti kepimpinan bersetuju dengan cadangan itu. Cuma bagi merealisasikannya perlu masa sedikit.

“Lagipun kita belum tahu bila PRU-15 akan diadakan,” katanya kepada media pada program Dialog Media bersama Presiden PAS di Pejabat Agung PAS di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Naib Presiden, Senator Idris Ahmad dan Setiausaha Agung, Datuk Takiyuddin Hassan.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Hamzah Zainudin dilaporkan mencadangkan gagasan besar berkenaan diwujudkan secara rasmi.

Hamzah berkata, tindakan itu perlu bagi memastikan kelangsungan permuafakatan dan melambangkan kesatuan semua tiga gabungan parti besar yang bersama kerajaan pimpinan PN hari ini iaitu PN, BN dan GPS.

Dalam perkembangan lain, Abdul Hadi Awang memberitahu bahawa permohonannya untuk menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah telah diperkenan baginda.

“Kita telah sembah permohonan dan sudah diterima (saya)… tak mahu beri tarikh bila (akan menghadap). Tiba masa kita akan menghadap,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.