Filem Babi: SKMM minta SENIMAN tampil buat aduan

222

13 DIS: Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) diminta tampil mengemukakan aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) susulan laporan polis persatuan itu kelmarin terhadap siaran filem kontroversi berjudul ‘Babi’ arahan Wee Meng Chee atau lebih dikenali sebagai Namewee.

SKMM memberitahu, proses penelitian terhadap kandungan yang diadu boleh dibuat berdasarkan kepada peruntukan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

“Selain AKM, penelitian lanjut juga boleh dibuat oleh agensi penguatkuasaan yang berkenaan mengikut peruntukan undang-undang lain yang terpakai berkaitan dengan kandungan atau penyiaran kandungan.

“Sekiranya hasil penelitian dan siasatan yang dijalankan mendapati terdapat unsur pelanggaran terhadap peruntukan undang-undang sedia ada, maka tindakan penguatkuasaan boleh diambil oleh agensi yang berkenaan selaras kesalahan yang dilakukan mengikut undang-undang,” kata SKMM dalam menerusi kenyataan media di Facebook rasmi, hari ini.

Dalam pada itu, SKMM mengesahkan telah berhubung dengan YouTube berhubung promosi filem ‘Babi’ yang dimuat naik dalam saluran YouTube Namewee pada 19 November lalu

“Namun, kita masih menunggu maklum balas daripada pihak mereka yang berpangkalan di luar negara,” kata SKMM. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.