3 MP jalani kuarantin boleh hadir Parlimen

228

13 DIS: Tiga Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang yang dikenakan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian Di Rumah (HSO) kerana menjadi kontak rapat individu positif COVID-19 akan dibenarkan hadir ke Parlimen namun perlu lengkap berpakaian perlindungan diri (PPE).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, ketiga-tiga ahli Parlimen tersebut akan ditempatkan di satu ruangan khas di Dewan Rakyat bagi membolehkan mereka mengikuti proses mengundi bagi peringkat jawatankuasa Rang Undang-Undang Perbekalan 2021.

“Ya, mereka boleh datang tetapi untuk masuk ke dalam dewan, mereka kena lengkap berpakaian PPE.

“Kita juga akan letakkan mereka di satu ruangan khas di dalam Dewan Rakyat,” katanya ketika ditemui pada sesi dialog media bersama Presiden PAS di ibu pejabat parti itu di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur, hari ini.

Takiyuddin turut mendedahkan tiga Ahli Parlimen terbabit adalah Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan manakala di pihak pembangkang, Ahli Parlimen P Prabakaran turut dikenakan HSO.

Minggu terakhir Persidangan Dewan Rakyat tahun ini menyaksikan lima lagi kementerian akan melalui sesi perbahasan di peringkat jawatankuasa bagi Rang Undang-Undang Perbekalan 2021.

Terdahulu, Dr Adham yang juga Ahli Parlimen Tenggara mengesahkan beliau menjalani perintah HSO sehingga 18 Disember ini kerana menjadi kontak rapat seorang petugas media yang disahkan positif COVID-19.

Manakala Saravanan yang juga Ahli Parlimen Tapah memaklumkan, beliau menjalani perintah kuarantin itu selepas menjadi kontak rapat kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF), Datuk Shahul Hameed Dawood, yang disahkan positif COVID-19.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.