1,229 kes baharu COVID-19 seluruh negara, 4 kematian

280

13 DIS: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengumumkan kes baharu jangkitan COVID-19 adalah sebanyak 1,229 kes, menjadikan jumlah kes keseluruhan di Malaysia sebanyak 83, 475 kes setakat hari ini.

Ketua Pengarahnya, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah turut memaklumkan terdapat pertambahan empat kes kematian COVID-19 hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 415 kes.

Menurut beliau, pertambahan kes baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di negara ini sebanyak 83,475 kes dengan jumlah kes aktif dan kebolehjangkitan, 13,667 kes.

“Daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat dua kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan COVID-19 dalam negara pula adalah 1,227 kes.

“Daripada jumlah kes yang direkodkan juga, Selangor mencatatkan sebanyak 344 kes bersamaan 79.1 peratus daripada kluster sedia ada dan saringan kontak rapat kes positif COVID-19 yang giat dijalankan di lapangan.

“Dua negeri lain yang mencatatkan kes tinggi hari ini ialah Sabah dengan 333 kes (27.1 peratus daripada keseluruhan kes) serta Kuala Lumpur iaitu 131 kes (10.7 peratus),” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham memberitahu, sehingga jam 12 tengah hari ini, sebanyak terdapat 1,309 kes sembuh dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes pulih COVID-19 di negara ini sebanyak 69,393 kes atau 83.1 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Tambah beliau, sehingga kini, terdapat 115 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 65 kes memerlukan bantuan pernafasan. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.