Saarani Nafi Dakwaan Dap Perak Tawar Jawatan Exco

228

12 DIS: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad, menafikan dakwaan DAP Perak kononya beliau menawarkan jawatan Ahli Mesyuarat Kerajaan (EXCO) kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (AMANAH) sekiranya mereka sedia membentuk kerajaan negeri bersama.

Saarani berkata, tiada sebarang tawaran dan janji khusus berhubung perlantikan ke jawatan EXCO diberikan kepada mana-mana parti sebelum perlantikannya sebagai Menteri Besar Perak pada Khamis lalu.

Justeru, Saarani berkata isu berkenaan tidak sepatutnya menjadi pertikaian memandangkan semua pemimpin utama parti negeri mengadakan perbincangan bersama sewaktu kerajaan negeri ini ‘tergantung’.

“Kita (UMNO) tiada apa-apa tawaran atau janji (jawatan EXCO) sebab ketika itu semua parti datang berbincang bagi mengelakkan kerajaan tergantung). Semua (pemimpin) parti faham dan bersetuju ‘hung government’ tidak boleh ada.

“Cuma kalau nak tubuhkan kerajaan dengan siapa, itu bergantung kepada persefahaman lah. Katalah walau DAP yang bersama kita tubuhkan kerajaan (negeri), takkanlah hendak nafikan hak mereka menuntut untuk jawatan exco?

“Namun perkara itu tidak berlaku. Begitu juga, semua parti lain sepatutnya faham perkara ini (jawatan exco) bukanlah satu imbuhan atau umpan, sebaliknya ianya hak parti masing-masing untuk menuntut sekiranya mereka bersama UMNO mebentuk kerajaan.

“Tambahan pula sewaktu itu PAS menyatakan tidak sudi bersama pembentukan kerajaan negeri yang baharu susulan kenyataan oleh Setiausaha Agung PAS (Datuk Takiyuddin Hassan). BERSATU pula pada waktu itu hanya berdiam diri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis kesyukuran anjuran UMNO Lenggong bersempena perlantikannya sebagai Menteri Besar Perak di Dewan Kompleks Komuniti Desa KEMAS Lenggong, di sini, hari ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah dan bekas Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz.

Terdahulu, Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming mengeluarkan kenyataan mendedahkan penawaran jawatan exco oleh UMNO kepada AMANAH dan PKR sekiranya sedia membentuk kerajaan bersama tanpa pembebitan DAP.

Kor Ming berkata, tawaran itu berlaku sewaktu PAS dan BERSATU masih tidak memberikan sebarang kata putus membentuk kerajaan negeri Perak bersama UMNO susulan Menteri Besar Perak sebelumnya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu hilang kepercayaan dalam usul undi pecaya yang menyebabkan barisan exco negeri sebelumnya terbubar.

Sementara itu, ditanya mengenai kemungkinan pentadbiran negeri yang diterajuinya mencadangkan agar siasatan dakwaan salah laku pentadbiran terdahulu dibuka, Saarani berkata beliau ingin fokus kepada usaha membangunkan negeri terlebih dahulu.

“Saya tidak mahu memulakan tugas saya dengan melukakan hati sesiapa, saya bersangka baik. Terdapat sebarang kesalahan atau salah laku yang dilakukan sesiapa pun termasuk saya, kita serahkan kepada pihak berwajib terutamanya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Saya mahu tumpukan perhatian kepada usaha membangunkan negeri dan tidak mahu dicampur aduk dengan perkara lain yang akan menjejaskan fokus saya,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.