NAFAS agih RM5.31 juta wang zakat kepada 26,550 asnaf

57

12 Dis – Sebanyak RM5.31 juta wang zakat telah diagihkan secara wakalah oleh Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) kepada 26,550 asnaf di seluruh negara, demikian jelas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi.

Menurut beliau, bantuan ini bukan sahaja memberi fokus kepada ahli Nafas, tetapi turut diberikan kepada asnaf yang memerlukan untuk meringankan beban mereka sepanjang mengharungi pandemik Covid19 di negara ini.

“Dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung penularan Covid19, sudah pastinya golongan asnaf ini agak terjejas dan diharapkan dengan adanya bantuan zakat ini dapat membantu meringankan sedikit beban yang ditanggung mereka.

“Bantuan zakat ini diagihkan oleh Pertubuhan Peladang Negeri (PPN), Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan saya sendiri turun padang untuk mengagihkan bantuan zakat ini berupa bantuan makanan, peralatan sekolah dan bantuan pakaian kepada golongan asnaf yang memerlukan.

“Sebanyak 290,000 bakul bantuan makanan diberikan bagi meringankan beban ahli keluarga asnaf. Selain peruntukan zakat, kita turut memperuntukkan RM580,000 untuk bantuan pakaian dan peralatan persekolahan kepada anak ahli Nafas di seluruh negara,” katanya kepada pemberita selepas selesai merasmikan program Nafas Prihatin dan mengagihkan bantuan zakat di Kampung Kok Pasir hari ini.

Sementara itu, melalui program Nafas Prihatin, Che Abdullah berkata sebanyak RM490,000 telah diperuntukkan untuk membaik pulih rumah di seluruh negara bagi memberi keselesaan kepada keluarga yang memerlukan.

“Manakala sebanyak RM1.395 juta disalurkan oleh pihaknya bagi membantu ahli Nafas yang terjejas oleh COVID-19 dan daripada jumlah itu, sebanyak RM170,000 diberikan kepada 34 penerima dengan purata bantuan RM5,000 seorang,” ujarnya lagi.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.