KPKT Nafi Mahu Bina Tugu Peringatan di Highland Towers

104

11 Dis – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menafikan mahu membina tugu peringatan di kawasan Highland Tower seperti yang dilaporkan media, sebaliknya hanya merancang untuk mengindahkan semula kawasan tapak kondominium itu.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, KPKT hanya merancang untuk mengindahkan semula tapak kondominium itu dan menjadikannya sebagai salah satu tempat bersejarah di negara ini.

“KPKT tidak berhasrat membina tugu peringatan di tapak berkenaan seperti dilaporkan media. Kita hanya mahu mengindahkan kawasan itu sebagai salah satu tempat bersejarah.

“Hasrat mengindahkan kawasan itu adalah bagi memperingati peristiwa tragis yang mengorbankan 48 penghuni kondominium berkenaan pada 11 Disember 1993 yang juga telah melakar sejarah hitam buat negara,” katanyamenerusi satu kenyataan di sini malam ini.

Kenyataan itu dibuat susulan ada media yang melaporkan bahawa KPKT mahu membina tugu peringatan di tapak kondominium tersebut.

Selain menjadikan ia sebagai satu tempat bersejarah, usaha untuk mengindahkan kawasan itu juga adalah untuk membendung masalah sosial yang didakwa berlaku di kawasan itu.

“Kawasan Highland Towers perlu diberi nafas baharu kerana sebelum ini mengundang rasa kurang senang penduduk setempat kerana masalah sosial yang didakwa berlaku di kawasan itu.

“Kawasan dengan bangunan terbiar selama 27 tahun itu akan diceriakan menerusi pembangunan tempat bersejarah serta dalam masa sama dapat menjamin kesejahteraan penduduk di kawasan Highland Towers,” ujarnya.

Tragedi Highland Towers yang terjadi pada 11 Disember 1993 telah menggemparkan negara apabila satu daripada tiga blok kondominium yang terletak di Taman Hillview, Ulu Klang runtuh dan meragut 48 nyawa.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.