Kerajaan pandang serius isu salah laku penjawat awam

88

12 Dis – Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman menegaskan agar semua ketua jabatan memandang serius mengenai hal salah laku penjawat awam dan perlu sentiasa memastikan sebarang ketirisan dan penyalahgunaan kuasa tidak berlaku di semua peringkat dalam kementerian atau jabatan atau agensi.

Menurut beliau, semua penjawat awam adalah tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) (1993)(P.U.A 395/1993), dan sebarang pelanggaran terhadap mana-mana peraturan termasuk tidak melaporkan salah laku pegawai, boleh dikenakan tindakan tatatertib.

“Kerajaan memandang serius mengenai sebarang salah laku yang melibatkan penjawat awam, justeru penjawat awam digalakkan untuk melaporkan sebarang salah laku di kementerian atau jabatan atau agensi masing-masing, dalam usaha membendung ketirisan yang berlaku dalam sesuatu organisasi, terutama yang melibatkan penyalahgunaan kuasa di pelbagai peringkat tanpa mengira kedudukan mereka.

“Pemberi maklumat mempunyai pelbagai saluran untuk menyampaikan maklumat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), atau Unit Integriti di setiap kementerian atau jabatan atau agensi masing-masing.

“Maklumat pelapor akan dirahsiakan dan diberi jaminan bahawa semua butiran yang diberikan kepada pihak berkuasa akan dilindungi dan hak keselamatan mereka terjaga, mengikut peraturan sedia ada seperti yang dinyatakan dalam Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dan Akta Perlindungan Saksi 2009,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Sementara itu, Khairul Adib Abd Rahman mengucapkan tahniah dan syabas kepada penjawat awam yang berani tampil ke hadapan dalam usaha untuk membendung salah laku yang berlaku di jabatan atau agensi masing-masing.

“Ini menunjukkan mereka mempunyai integriti yang sangat tinggi dan boleh menjadi contoh kepada penjawat awam yang lain.

“JPA juga ingin mengucapkan tahniah kepada pihak SPRM dan agensi penguat kuasa atas tindakan proaktif dan berterusan, bagi memastikan amalan rasuah dibanteras secara menyeluruh seterusnya dapat meningkatkan integriti dan tadbir urus yang baik dalam Perkhidmatan Awam,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.