PKPB 4 daerah Kelantan tamat lebih awal hari ini

196

11 DIS: Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kota Bharu, Machang, Tanah Merah dan Pasir Mas ditamatkan hari ini, lebih awal daripada yang dijadualkan iaitu pada 20 Disember.

Walau bagaimanapun, dua mukim iaitu Kubang Kerian (Kota Bharu) dan Kusial (Tanah Merah) masih dikenakan PKPB sehingga 20 Disember.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga kini, Kementerian Kesihatan mengesahkan kes positif COVID-19 di keempat-empat daerah ini menunjukkan trend penurunan mendadak dan terkawal sementara kes-kes aktif yang masih ada hanya tertumpu di beberapa mukim.

Ismail Sabri Yaakob
ISMAIL SABRI YAAKOB

“Atas nasihat Kementerian Kesihatan, kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPB di daerah Kota Bharu, Machang, Tanah Merah dan Pasir Mas pada 11 Disember 2020,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Madrasah Ad-Diniah Al-Falahiah, Kampung Dalam Huma, Bukit Awang, Pasir Puteh diteruskan sehingga 20 Disember.

Berhubung tindakan penguatkuasaan, Ismail Sabri berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan 260 individu semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut beliau, daripada jumlah itu, seramai 245 individu telah dikompaun manakala 15 individu pula direman.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk tidak memakai pelitup muka (102), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (79), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (40), aktiviti pusat hiburan (27) dan lain-lain (12),” jelasnya.

Ismail Sabri turut memaklumkan, seramai 18 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan tiga tekong ditahan serta tiga kenderaan darat dirampas dalam Op Benteng semalam.

Selain itu, penguat kuasa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah memeriksa 18 tapak binaan di seluruh negara semalam.

“Daripada jumlah itu, 17 tapak binaan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan manakala sebuah tapak binaan tidak beroperasi,” katanya.

Pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga telah melakukan 683 pemeriksaan khas Pematuhan SOP PKPP dan kesemua premis yang diperiksa mematuhi SOP yang telah ditetapkan. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.