Penunggang basikal mesti patuh undang-undang jalan raya

861

KUALA LUMPUR: Penunggang basikal dinasihatkan agar patuh kepada peraturan dan undang-undang jalan raya untuk memastikan keselamatan mereka semasa menjalani aktiviti berbasikal, demikian tegas Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias.

Menurutnya, pihak polis tidak melarang sebarang aktiviti berbasikal namun penunggang mesti mematuhi aspek-aspek keselamatan yang telah ditetapkan mengikuti Akta Pengangkutan Jalan (APJ)1987 dan Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

“Akitiviti berbasikal hari ini menjadi trend baru di kalangan masyarakat Malaysia dan aktiviti itu dilihat boleh mendatangkan bahaya kepada penunggang dan pengguna jalan raya yang lain sekiranya mereka tidak patuh pada undang-undang yang telah ditetapkan.

“Sehubungan itu, pihak polis menasihatkan penunggang basikal agar sentiasa patuh kepada peraturan dan undang-undang yang ditetapkan untuk menjamin keselamatan mereka dan pengguna jalan raya lain, walaupun tiada larangan untuk aktiviti berbasikal di jalan raya” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Kata Azisman lagi, penunggang yang ingin melakukan aktiviti berbasikal dinasihatkan memilih lokasi dan masa yang sesuai seperti di lokasi yang kurang kenderaan dan bukan di waktu puncak ketika orang ramai pergi dan balik kerja.

“Aktiviti berbasikal diwaku puncak dan juga ditempat-tempat yang sesak dengan kenderaan di jalan raya boleh mengganggu kelancaran lalu lintas dan boleh mengundang risiko kemalangan.

“Sementara itu, pihak polis juga ingin mengingatkan pemandu kenderaan biasa seperti lori, bas, kereta, motosikal dan seumpamanya supaya bertimbang rasa dan berhati-hati kerana penunggang basikal amat terdedah kepada bahaya semasa berada di atas jalan raya,” tegas beliau.

Pemilik basikal juga menurut Azisman, perlu memastikan peralatan dan basikal yang digunakan mempunyai ciri-ciri keselamatan termasuk menggunakan rak pembawa barang pada bumbung pada kenderaan yang digunakan untuk membawa basikal.

Pemilik atau penunggang basikal yang gagal mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan boleh dikenakan tindakan mengikut APJ 1987 dan Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

“Seksyen 54(1) APJ 1987 dan boleh denda tidak kurang daripada RM1,000 dan tidak lebih RM5,000 selain boleh dipenjara tidak lebih 12 bulan boleh dikenakan kepada penunggang yang menunggang secara melulu dan membahayakan

“Mereka yang gagal mematuhi papan tanda lalu lintas yang melarang berbasikal di lebuh raya pula boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 79(2) APJ 1987 dan boleh didenda tidak kurang RM200 dan tidak lebih RM2,000, manakala Seksyen 112(3) APJ 1987 pula memperuntukkan mana-mana basikal boleh disita jika didapati sesuatu kesalahan dilakukan dengannya,” jelasnya.

Basikal yang didapati tidak memasang lampu depan dan belakang boleh dikenakan tindakan mengikut Kaedah 35 Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 dan boleh didenda tidak lebih RM2,000 atau dipenjara tidak lebih enam bulan.

Tambahnya, basikal yang digunakanmestilah mempunyai brek dan loceng sebagai salah satu ciri-ciri keselamatan dan mereka yang berbasikal secara berkumpulan perlu mengayuh basikal dalam satu deretan.

Sekiranya perkara itu gagal dipatuhi, mereka boleh dikenakan tindakan mengikut Kaedah 42 Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 dan boleh dikenakan denda tidak lebih RM2,000 atau dipenjarakan tidak lebih enam bulan.

Sejak Januari sehingga Oktober lalu, sebanyak 137 kemalangan membabitkan penunggang basikal telah direkodkan dengan 56 kematian, 18 cedera parah dan 63 lagi mengalami kecederaan ringan. 

Manakala, sebanyak 201 kemalangan direkodkan dengan 107 kematian, 18 cedera parah dan 63 lagi cedera ringan pada tahun lalu.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.