Lantikan Exco kuasa mutlak Sultan Perak

181

11 Dis : Pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang baharu termasuk dari Pas hanya akan dimuktamadkan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Menteri Besar hanya boleh mencadangkan nama-nama yang sesuai, demikian jelas Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad.

Ujarnya, kuasa mutlak pelantikan Exco terletak di bawah kuasa Sultan dan hak mutlak baginda untuk memperkenankan nama-nama yang dicadangkan untuk dilantik menjadi Exco kerajaan negeri.

“Sebagai Menteri Besar, saya hanya boleh mencadangkan nama-nama yang dilihat sesuai untuk dilantik menjadi Exco, namun kuasa mutlaknya terletak di bawah pertimbangan Sultan.

“InsyaAllah, pelantikan lima lagi Exco akan kita buat apabila tiba masanya. Cuma, harus diingat bahawa, Menteri Besar hanya boleh mencadangkan nama Exco, hak mutlak untuk memperkenankan cadangan tersebut dan pelantikan Exco adalah milik Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan,” katanya.

Saarani berkata demikian pada sidang media selepas memulakan tugas hari pertama di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.

Bagaimanapun, Saarani tidak menolak kemungkinan adanya pengubahsuaian dan penambahbaikan kepada portfolio Exco mengikut keadaan dan situasi semasa.

“Kita akan buat kajian semula kerana, berdasarkan tempoh sembilan bulan yang lalu, mungkin terdapat kelemahan di sana sini yang perlu diperkemaskan dan diperbaiki,” ujarnya.

Semalam, lima exco dari UMNO dan Bersatu telah pun dilantik tanpa membabitkan wakil dari Pas.

Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria semalam berkata, beliau yakin bahawa UMNO tidak akan meninggalkan Pas namun akur dengan keputusan Menteri Besar sekiranya tidak ada wakil Pas yang dilantik sebagai Exco negeri.

Hari ini, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, telah membuat permohonan untuk mengadap Sultan Perak  bertujuan menyembah maklum kedudukan parti itu berkait krisis politik negeri ini.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.