Jangan lengah tubuh Majlis Presiden PN, libatkan negeri

132

11 DIS: Proses pembentukan Majlis Presiden yang dianggotai ketua-ketua parti yang mendukung kerajaan Perikatan Nasional (PN) harus disegerakan bagi mengukuhkan kerjasama antara parti.

Penganalisis politik, Dr Kamarul Zaman Yusof berkata majlis itu akan memberikan ruang kepada semua ketua parti bagi menyampaikan pandangan dan permasalahan yang berbangkit yang boleh diselesaikan melalui meja rundingan.

Beliau berpandangan, UMNO, PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) akan mengambil pendekatan yang lebih berhemah dan bijaksana terhadap proses pertukaran Menteri Besar Perak dalam memastikan permasalahan tersebut tidak berulang semula.

kamarul zaman yusoff
KAMARUL ZAMAN YUSOFF

“Di peringkat Pusat, pembentukan Majlis Presiden melibatkan Presiden semua parti yang menganggotai Kerajaan Pusat, yang telah dipersetujui oleh semua, perlulah dipercepatkan dan mesyuaratnya perlulah diadakan sekerap mungkin bagi menyelesaikan masalah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kamarul Zaman yang juga Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS) Universiti Utara Malaysia (UUM) mencadangkan agar mekanisme seperti Majlis Presiden dapat ditubuhkan di setiap negeri khususnya di negeri Perak bagi memboleh segala pandangan dan masalah berbangkit dapat diselesaikan secara bersama.

Menurut beliau, menyedari bahawa Barisan Nasional (BN) tidak mampu untuk menubuhkan kerajaan secara bersendirian, Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad juga perlu merujukkan perkara besar yang mahu dilakukan dengan parti-parti lain yang mendukung PN agar tidak meminggirkan serta mengakomodasi pandangan mereka.

“Begitu juga di peringkat negeri, Menteri Besar Perak yang baru perlulah mewujudkan mekanisme serupa membabitkan Pengerusi semua parti yang menganggotai Kerajaan Negeri bagi memastikan masalah di peringkat negeri dapat dibincangkan mengikut saluran,” katanya.

Sementara itu, Kamarul Zaman memberitahu, tindakan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memohon maaf bagi pihak Adun-Adun BN Perak di atas kekhilafan yang berlaku merupakan tindakan yang berjiwa besar.

Tambah beliau, tindakan merendah diri Presiden UMNO itu juga sekali gus telah mendorong ketiga-tiga parti itu bersetuju mencadangkan nama Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad, sebagai Menteri Besar Perak yang baharu untuk diperkenankan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

“Pujian perlu diberikan kepada pimpinan BERSATU Perak yang sejak awal bersetuju untuk melakukan peralihan kuasa secara aman selain pimpinan BERSATU Johor yang tidak bertindak balas ke atasnya dengan tidak cuba membawa usul sama terhadap Menteri Besar Johor dari UMNO.

“Pujian juga perlu diberikan kepada pimpinan PAS yang memainkan peranan sebagai orang tengah dalam memastikan pertikaian antara pimpinan UMNO dan BERSATU tidak berpanjangan walaupun pada awalnya PAS sendiri tegas tidak mahu menyertai kerajaan baru.

“Turut tidak terkecuali daripada perlu dipuji ialah pimpinan UMNO sendiri yang tidak cepat terpengaruh dengan ajakan ADUN-ADUN DAP, PAN dan PKR untuk membentuk kerajaan baru bersama mereka walaupun ajakan sebegitu sebenarnya agak menggiurkan,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.