Covid19 : 1810 kes baharu, enam kes kematian hari ini

266

11 Dis : Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengumumkan kes baharu jangkitan Covid19 adalah sebanyak 1810 kes, menjadikan jumlah kes  keseluruhan di Malaysia sebanyak 80,309 kes setakat hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan turut memaklumkan terdapat pertambahan enam kes kematian COVID-19 pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 402 kes (0.50 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

“Daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat 11 kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan COVID-19 dalam negara pula adalah 1,799 kes.

“Selangor masih melaporkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 829 kes (45.8 peratus) di mana 685 kes (82.6 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat kes positif COVID-19 yang giat dijalankan di lapangan.

“Ini diikuti oleh negeri Sabah sebanyak 532 kes (29.4 peratus) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 132 kes (7.3 peratus). Dengan ini jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 kini adalah sebanyak 12,734 kes,” jelasnya.

Katanya lagi, sebanyak 184 kes (10.2 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara yang membabitkan Kluster Rumah Merah (150 kes), Kluster Tembok (18 kes), Kluster Bakti (13 kes), dan Kluster Penjara Jalan Harapan (3 kes).

Sehingga kini, terdapat 123 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 63 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.