Saarani fokus bela rakyat, pulih ekonomi Perak

93

10 Dis – Menteri Besar Perak yang baharu, Datuk Saarani Mohamad berkata, fokus utama beliau adalah untuk melaksanakan program pembelaan rakyat dan memulihkan ekonomi negeri yang terkesan ekoran pandemik Covid19 yang melanda negara.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa Belanjawan Negeri Perak 2021 tidak akan diubah dan akan dibentang di persidangan Dewan Undangan Negeri sepertimana yang telah dirangka dan dibincang sebelum ini.

“Saya tidak fikir kita ada masa teliti atau ubah kandungan isi belanjawan yang telah pun dirangka dan dibincang bersama Exco yang lama, termasuk saya.

“Kerajaan negeri perlu memastikan Belanjawan 2021 Perak bukan sahaja mampu memulihkan ekonomi dan menjana ekonomi tetapi juga membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik ini,”katanya dalam sidang media selepas selesai Istiadat Mengangkat Sumpah di Istana Iskandariah di sini hari ini.

Sementara itu, Saarani yang juga merupakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sepanjang mengetuai jentera kerajaan negeri sebagai Menteri Besar sebelum ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan menjelaskan bahawa amanah yang diberikan itu perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab untuk memastikan kerajaan ditadbir dengan secara berhemah, adil dan saksama.

“Justeru, saya menyeru semua pihak agar meletakkan agenda rakyat sebagai keutamaan, di mana kita hari ini sedang menghadapi pandemik COVID-19 yang merupakan satu ujian getir yang perlu dihadapi kerajaan negeri dan kerajaan pusat.

“Kita hanya akan mampu mengharungi ujian ini dengan komitmen jitu semua pihak termasuk kakitangan awam peringkat negeri dan Persekutuan,” katanya.

Berkenaan lima Exco yang baharu akan mengangkat sumpah di hadapan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah di Istana Iskandariah, hari ini, Saarani berkata nama kesemua mereka telah dipersembah dan diperkenan Sultan Nazrin pagi tadi.

“Saya telah memohon menghadap dan sembah maklum kepada Tuanku pagi tadi dan saya mencadangkan lima nama untuk diperkenan. 

“Saya juga memohon segera untuk diadakan istiadat angkat sumpah secepat mungkin supaya saya boleh mengadakan mesyuarat Exco pertama untuk meneliti dan meluluskan bajet,” katanya. – Hafiz Hamzah

Get real time updates directly on you device, subscribe now.