Saarani angkat sumpah MB, manifestasi muafakat PN

67

10 DIS: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan, Datuk Saarani Mohamad mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Perak di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, pagi ini.

Sebelum itu, beliau menerima watikah pelantikan yang dikurniakan Sultan Nazrin dalam Istiadat Kurniaan Tauliah Lantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Perak.

Dalam istiadat sama, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak itu turut mengangkat sumpah jawatan sebagai Ahli Dewan Negara Perak.

Saarani Mohamad
Saarani Mohamad mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Perak di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, hari ini.

Beliau seterusnya menandatangani surat pelantikan dengan disaksikan Hakim Utama Mahkamah Tinggi Ipoh Datuk Hisham Hashim dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Suaidi Abdul Rahim.

Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Saarani, 59, dilantik bagi menggantikan ADUN Chenderiang, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang meletak jawatan selepas undi percaya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Jumaat lalu tidak menyebelahinya.

Semalam, Sultan Nazrin memperkenankan pelantikan Saarani sebagai Menteri Besar berpandukan Perkara 16 Fasal 2 (a) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak setelah pada timbangan baginda ADUN Kota Tampan itu boleh mendapat kepercayaan sebahagian besar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri itu.

Pelantikan Saarani itu dipersetujui oleh UMNO, PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), sekali gus menggambarkan permuafakatan ketiga-tiga parti dalam meneruskan pentadbiran Perikatan Nasional (PN) di Perak. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.