RM34.6 bilion dana bantu rakyat terjejas COVID-19

111

10 DIS: Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM34.6 bilion yang merangkumi pelbagai subsidi, insentif dan bantuan kepada rakyat dalam membantu meringankan kos sara hidup rakyat khususnya buat mereka yang terjejas disebabkan pandemik COVID-19.

Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM18.2 bilion dibiayai di bawah peruntukkan Belanjawan 2020 dan RM16.4 bilion di bawah Kumpulan Wang COVID-19 yang merangkumi pelbagai sektor serta pemberian bantuan kepada mereka yang memerlukan.

“Menerima subsidi, insentif dan bantuan ini bukan sahaja pada golongan B40 malah M40. Pemberian dan agihan (bantuan) secara bersasar merupakan antara matlamat kerajaan untuk membantu golongan yang benar-benar memerlukan dan mengurangkan ketirisan yang berlaku.

MOHD SHAHAR ABDULLAH
MOHD SHAHAR ABDULLAH

“Antara sektor (Kumpulan Wang COVID-19) ialah sektor pertanian, sektor kepenggunaan, sektor pengangkutan, sektor keselamatan komuniti dan keagamaan, sektor kesihatan dan pendidikan termasuklah bantuan sara hidup dan kebajikan masyarakat, bantuan faedah pinjaman serta pemberian elaun.

“Perbelanjaan ini juga termasuklah Bantuan Prihatin Nasional (BPN), tambahan bantuan sara hidup, bantaun tambahan kepada golongan mudah terjejas seperti golongan kurang upaya (OKU) dan ibu tunggal serta bantuan secara terus (one off) seperti yang diumumkan dalam pakej rangsangan ekonomi,”katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Mohd Sahar menjawab soalan Ahli Parlimen PH Kulim Bandar Baharu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyatakan tentang semua jenis bantuan kepada rakyat kelompok B40 dan M40 dan jumlah sebenar perbelanjaan dibiayai Kerajaan.

Dalam perkembangan berkaitan, bagi menjawab soalan Saifuddin menyatakan penyelesaian jangka panjang dalam membantu golongan sasar seperti OKU dan ibu tunggal yang terjejas, Shahar memberitahu Kementerian Kewangan sentiasa mendengar permasalahan rakyat walaupun pelbagai bantuan secara terus diberikan kepada rakyat.

“Kita ambil pengalaman di antara bantuan sara hidup dan bantuan prihatin nasional yang kita gabungkan dan mewujudkan satu kaedah baharu iaitu bantuan prihatin rakyat yang dahulunya memperuntukkan RM4,000 isi rumah ke bawah tapi dengan ambil kira bantuan prihatin nasional dan bantuan sara hidup, kita telah mengubah sedikit dan membesarkan julat sehingga RM5,000.

“Saya yakin dan percaya Kementerian Kewangan amat memahami apa yang dibangkitkan Yang Berhormat iaitu jaringan pelindungan sosial yang harus dilihat secara menyeluruh dan bukan hanya tertumpu sahaja melibatkan keperluan harian. InsyaAllah, perkara ini saya akan bawa ke Kementerian Kewangan,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.