Pas Perak akur keputusan MB soal pelantikan Exco

291

10 Dis : Pas Perak tetap akur dengan sebarang keputusan Menteri Besar Perak yang baharu, Datuk Saarani Mohmad dalam soal pelantikan Exco negeri walaupun tidak ada wakil Pas yang dilantik.

Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berkata, soal pelantikan exco ini adalah di atas kuasa Menteri Besar dan beliau ambil maklum bahawa setakat hari ini, hanya lima orang sahaja yang dilantik dan tidak ada wakil dari Pas.

“Berhubung soal pelantikan Exco, bagi saya itu adalah kuasa di bawah Menteri Besar dan kita pun dimaklumkan pada hari ini hanya lima orang sahaja dilantik dan tidak termasuk Pas.

“Apa yang penting bagi saya hari ini ialah isu rakyat dan bagaimana wakil rakyat yang dipilih itu mampu berfungsi untuk menjaga kepentingan rakyat itu sendiri.

“Bagaimanapun saya yakin dengan ikatan antara UMNO dan Pas, tak mungkin MB (Ketua Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad) akan meninggalkan PAS,” katanya dalam satu hantaran di Facebook beliau hari ini.

Sementara itu, beliau turut menzahirkan ucapan tahniah di atas pelantikan ADUN Kota Tampan, Datuk Saarani Mohamad di atas pelantikan sebagai Menteri Besar Perak yang ke 14 hari ini.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada Dato Saarani Mohamad di atas pelantikan beliau sebagai Menteri Besar Perak yang baharu.

“Semoga semangat setiakawan dan usaha penyatuan ummah yang terbina di antara Pas dan UMNO dalam situasi politik terkini tanahair akan terus kekal,” ujarnya.

Hari ini, seramai lima Exco iaitu ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin yang juga Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak, ADUN Lintang, Datuk Mohd. Zolkafly Harun; ADUN Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya, ADUN Bota, Khairul Shahril Mohamed dan ADUN Kampong Gajah, Datuk Dr. Wan Norashikin Wan Noordin, keempat-empatnya dari UMNO.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.