Kerajaan tiada perancangan laksana cukai kekayaan

87

10 DIS: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak berhasrat untuk melaksanakan cukai kekayaan bagi menambah kutipan hasil negara.

Perkara itu dinyatakan oleh Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, hari ini.

“Berhubung dengan cukai kekayaan, kerajaan tidak mempunyai sebarang cadangan untuk melaksanakannya pada masa ini,” katanya.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen PH Kluang, Wong Shu Qi mengenai sama ada kerajaan PN akan melaksanakan semula cukai barangan dan perkhidmatan (GST) atau cukai kekayaan untuk meningkatkan pendapatan.

Mohd Shahar menambah, sebarang cukai baharu atau pelaksanaan semula cukai lama seperti GST perlu bersifat mudah ditadbir dan tidak meningkatkan kos perniagaan di samping dapat mengukuhkan kedudukan fiskal negara.

Sehubungan itu, beliau berkata, pasukan khas yang telah ditubuhkan akan melaksanakan kajian terperinci bagi memastikan cukai baharu itu tidak memberi bebanan kepada rakyat.

Ahli Parlimen PN Paya Besar itu memberitahu, kajian juga akan meliputi kesan ke atas ekonomi, kos sara hidup, kesan cukai terhadap harga barang dan keupayaan menangani kegiatan ekonomi gelap.

“Kita juga mesti melihat bagaimana kaedah-kaedah lain seperti yang dibentang Menteri Kewangan ketika Belanjawan 2021, kita memantapkan pematuhan percukaian, kita memperkasakan lagi agensi Pasukan Petugas Pelbagai Agensi (MATF) kerana apa kalau kita mewujudkan cukai baharu dan hanya meningkatkan hasil tetapi membebankan rakyat, ia tidak akan memberi kesan.

“Saya yakin Yang Berhormat juga setuju dengan saya kita mesti bersama-sama untuk memastikan pemulihan ekonomi ini akan berasaskan melalui kelulusan Belanjawan 2021 sehingga peringkat jawatanlkuasa kerana inilah langkah kelima sebelum ktia lancarkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) pada bulan Januari 2021,” jelasnya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.