JAIS benarkan solat Jumaat, jemaah di 3 daerah

111

10 DIS: Umat Islam di Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Hulu Selangor, dibenarkan menunaikan solat Jumaat dan solat lima waktu secara berjemaah serta menyertai kegiatan agama di masjid dan surau di daerah berkenaan mulai esok.

Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Mohd Shahzihan Ahmad berkata, kebenaran itu tidak termasuk kawasan terbabit dengan Kluster Melawati di Kuala Selangor yang membabitkan sebuah masjid, dua surau kebenaran Jumaat dan dua surau berikutan perkembangan terkini penularan COVID-19.

Beliau berkata, ketetapan baharu JAIS mengenai solat dan kegiatan di 130 masjid, 21 surau kebenaran Jumaat dan 453 surau itu, membabitkan tiga daerah berkenaan sahaja.

“Pelaksanaan solat Jumaat dan lima waktu dibenarkan kepada semua masjid, surau kebenaran Jumaat dan surau mengikut kapasiti sebenar ruang solat dengan penjarakan 1.5 meter.

“Bagi program pengimarahan seperti kuliah maghrib, subuh, dhuha dan bacaan Yasin turut dibenarkan dengan syarat penceramah dijemput adalah dari zon hijau sahaja. Kebenaran itu adalah untuk jemaah warganegara sahaja,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Shahzihan berkata, arahan khusus juga dikeluarkan JAIS kepada Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) yang terbabit untuk dikuatkuasakan serta-merta.

“Besar harapan JAIS agar seluruh umat Islam di Selangor meningkatkan disiplin, kawalan kendiri, bersabar dan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan JAIS, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mengekang penularan COVID-19.

“Langkah-langkah penguatkuasaan SOP tegas oleh pentadbir masjid dan surau, langkah pencegahan, kawalan kendiri, doa, zikir dan munajat yang diamalkan pasti akan membantu mempercepat ketetapan sama dapat dikuatkuasakan di seluruh Selangor,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.