Isu pencen jaguh rali Karamjit Singh, KBS sedang semak

181

10 DIS: Semakan terperinci sedang dilaksanakan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) terhadap dakwaan pelumba rali negara, Karamjit Singh yang pernah dijanjikan kementerian itu untuk mendapat pencen hasil kejayaan di arena rali dunia yang telah mengharumkan nama Malaysia dan bergelar juara dunia.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, hasil semakan dilakukan, ketika ini hanya mereka yang memenangi pingat di temasya sukan Olimpik yang akan memperolehi Skim Pencen daripada KBS.

Walau bagaimanapun, menurut beliau, pihaknya akan sentiasa memperjuangkan nasib-nasib bekas atlet bukan sahaja bagi mereka yang memenangi pingat Olimpik, malah akan melaksanakan penelitian agar atlet yang layak masuk ke kejohanan peringkat dunia wajar diberikan skim pencen sebagai penghargaan.

“Ini (Skim Pencen) dimulakan oleh Yang Berhormat Pengerang ketika menjadi Menteri KBS dan kemudiannya diteruskan dan diperluaskan di zaman Rembau jadi Menteri KBS yang diperluaskan kepada paralimpik. Pihak KBS, kita masih menerima pandangan-pandangan dari persatuan sukan terutamanya Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

“Ini perlu kerana mereka berjuang bukan untuk memastikan mereka yang menang pingat tetapi para para atlet Olimpik kepada mereka yang mendapat kelayakan juga boleh dipertimbangkan untuk mendapat pencen. Ini antara yang diperjuangkan oleh KBS dan insya-Allah, bila semua siap akan dibawa ke Kabinet,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen PH Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir dalam perbahasannya yang mempersoalkan jika benar Karamjit dijanjikan pencen oleh KBS.

karamjit singh
Karamjit Singh pernah mengharumkan nama negara dalam acara rali dunia.

Dewan Rakyat meluluskan belanjawan bagi KBS setelah undian suara mendapati lebih ramai Ahli Parlimen yang bersetuju.

Dalam pada itu, bagi menjawab Ahli Parlimen Bebas Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tentang pelaksanaan gelembung sukan, Reezal Merican memberi jaminan tiada aktiviti sukan yang akan dihentikan pada tahun 2021 yang akan berpandukan berdasarkan kaedah ini.

Menurut beliau, dengan kaedah ini, ini memberi peluang kepada pihaknya kerana telah banyak digunakan di seluruh dunia yang bukan sahaja di sektor sukan namun pelancongan juga turut menggunakan kaedah ini yang dilihat mampu merangsangkan ekonomi.

“KBS sedang membangunkan gelembung sukan modul baharu sebab kemungkinan mungkin dapat kita memperkenalkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Lihat di luar negara mereja menggunakan ujian RTK Antigen dan ujian-ujian seperti coronavirus breathalyzer, kamu buat ujian (lepas) kamu boleh main, kalau kamu buat ujian kamu boleh terbang jika dalam pelancongan. Jadi, mungkin kaedah satu hari diterima dan nampak normal pada pandangan rakyat dan boleh jadikan sukan ini menggunakan kaedah gelembung sukan,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.