Industri jualan langsung jana pendapatan RM20b

67

10 DIS: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menjangkakan industri jualan langsung di Malaysia akan menjana pendapatan mencecah RM20 bilion menjelang akhir tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, keyakinan itu berasas kerana nilai jualannya kini sudah mencatat RM17.8 bilion sehingga September lalu biarpun negara berdepan dengan cabaran ekonomi semasa.

Tambah beliau, sektor jualan langsung di Malaysia mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan hingga berkembang menjadi industri besar yang menyumbang kepada ekonomi domestik.

“Ini diyakini berupaya membantu usaha kerajaan, khususnya KPDNHEP, merancakkan semula pertumbuhan ekonomi domestik susulan penularan COVID-19.

“Keyakinan itu bersandarkan prestasi positif, terutama nilai jualan dicatatkan sektor berkenaan dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini bermula pada 2018 (RM15.9 bilion) dan 2019 (RM17 bilion),” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut, Alexander berkata, prestasi itu meletakkan Malaysia pada kedudukan ketujuh di peringkat global dan keempat di Asia Pasifik daripada segi rekod nilai jualan dalam Laporan Jualan Peruncitan Jualan Langsung Global 2019 – Persekutuan Persatuan Jualan Langsung Dunia (WFDSA).

Beliau berkata, KPDNHEP cukup berbangga dengan pencapaian ini malah komited dalam menyokong pertumbuhan sektor berkenaan dengan mengadaptasi perubahan trend perniagaan dan perdagangan norma baharu di negara ini.

“Keutamaan KPDNHEP untuk membantu mempermudahkan aktiviti perniagaan di negara ini sekali gus memastikan operasi perniagaan dapat dijalankan secara lebih cekap dan berkesan,” katanya.

Menurut Alexander, antara inisiatif yang diambil termasuk memudahkan proses memperbaharui Lesen Jualan Langsung tanpa mengetepikan aspek pematuhan syarat dan peraturan termaktub bawah Akta Jualan Langsung.

“KPDNHEP turut memudahkan permohonan kebenaran untuk aktiviti pemasaran dan pengiklanan bagi tujuan promosi, dengan pemain industri (syarikat) kini hanya perlu memaklumkan kepada kementerian sebelum kempen mereka bermula.

“Ini secara tidak langsung membuktikan keyakinan dan kepercayaan kerajaan kita bahawa pemain industri sentiasa mematuhi syarat, peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) dilaksanakan,” katanya.

Dalam pada itu, Alexander berkata, pihaknya turut mengambil maklum beberapa perkara berbangkit termasuk cadangan pindaan Akta Jualan Langsung dan Akta Skim Piramid 1993, selain isu penjualan produk jualan langsung secara tidak sah dalam talian.

“Hal ini sedang diperhalusi di peringkat kementerian, yang turut membabitkan kerjasama pemain industri jualan langsung dan penyedia perkhidmatan e-dagang bagi mencari solusi terbaik berhubung perkara itu,” katanya.

Selain itu, Alexander berkata, kementeriannya turut memperjuangkan insentif percukaian bagi kesemua sektor dan industri bawah seliaannya.

“Jika diteliti, insentif percukaian tersedia untuk mana-mana syarikat yang mengadaptasikan Revolusi Industri 4.0, teknologi pendigitalan dan transformasi teknologi bagi perkhidmatan berkaitan.

“KPDNHEP sedang memformulasikan Pelan Industri Jualan Langsung dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), khusus bagi merangka hala tuju strategik industri itu ke arah menyumbang kepada pemerkasaan sosio-ekonomi negara.

“Perkara ini seiring dengan keupayaan industri jualan langsung menyumbang kepada usaha pengukuhan ekonomi negara, selain kepentingannya dalam mewujudkan banyak peluang pekerjaan dan perniagaan kepada rakyat,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.