Data tanah rizab Melayu hak eksklusif kerajaan negeri

149

10 DIS: Semua maklumat terperinci mengenai keluasan tanah rizab Melayu bagi negeri di Semenanjung adalah data eksklusif pihak berkuasa negeri masing-masing.

Berikutan itu Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Ali Biju, mencadangkan semua Ahli Parlimen membangkitkan isu berkenaan tanah rizab Melayu dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) menerusi wakil rakyat masing-masing.

“Semua maklumat terperinci mengenai tanah rizab Melayu bagi negeri di Semenanjung adalah data eksklusif pihak berkuasa negeri masing-masing

“Adalah lebih sesuai YB membangkitkan perkara ini dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan kecuali di Pulau Pinang dan Melaka kerana kedua-dua negeri berkenaan tidak mempunyai tanah rizab Melayu,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, hari ini.

ALI BIJU
ALI BIJU

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen BN Parit, Datuk Mohd. Nizar Zakaria yang meminta Menteri Tenaga dan Sumber Asli menyatakan jumlah keluasan tanah rizab Melayu yang terdapat di seluruh negara dan bentuk kerjasama dengan kerajaan negeri dalam menyemak semula pengurusan dan pembangunannya.

Mengulas lanjut, Ali berkata, isu berkaitan tanah rizab melayu dibincangkan secara bersama antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri berkenaan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Pengurusan Tanah Rizab Melayu Semenanjung Malaysia yang diurusetiakan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KETSA).

Beliau berkata tindakan itu selari dengan Senarai Kedua Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan berkaitan pelupusan dan pengurusan tanah rizab Melayu, Perkara 89 Perlembagaan Persekutuan berkaitan tanah rizab Melayu adalah bidang kuasa pihak berkuasa negeri.

“Tindakan pewartaan dan pembatalan sesuatu status tanah rizab Melayu oleh pihak berkuasa negeri perlulah selaras dengan Enakmen Tanah Rizab di negeri masing-masing.

“Mengikut Perkara 89 Perlembagaan Persekutuan menggariskan setiap tanah rizab Melayu yang dibatalkan perlu diganti tanah mempunyai keluasan dan keadaan yang sama.

“Kementerian berpegang kepada semua prinsip termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan berkaitan tanah rizab Melayu dan berharap pihak berkuasa negeri juga mengikuti peraturan disediakan berdasarkan Perkara 89 Perlembagaan Persekutuan,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.