Dakwaan usahawan vape diugut SPRM ada asasnya -KPN

149

10 DIS: Siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati laporan usahawan vape yang mendakwa diperas ugut oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempunyai asasnya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata secara umum, polis mendapati ada kesalahan mengikut Sekyen 384 Kanun Keseksaan iaitu melakukan pemerasan dan Seksyen 500 kanun yang sama atas kesalahan fitnah.

Abdul Hamid berkata sehingga kini ada tiga laporan polis membabitkan laporan yang dibuat oleh usahawan berusia 32 tahun itu, laporan balas oleh SPRM, semalam dan laporan dari seorang individu yang menafikan laporan pertama oleh usahawan terbabit.

“Memandangkan banyak isu teknikaliti dalam kes ini, polis sudah memulakan perbincangan dan tiada apa-apa halangan dalam kita menjalankan siasatan. Namun, ada beberapa perkara yang perlu kita tentukan sebelum mengambil langkah seterusnya.

“Mungkin Isnin dan Selasa depan kita akan dapat mengetahui hala tuju kes ini dan mula memanggil saksi-saksi yang mempunyai maklumat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyampaian Surat Penghargaan Ketua Polis Negara, di Bukit Aman, hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Hamid berkata, polis memerlukan masa untuk memulakan siasatan kes itu disebabkan terlalu banyak butiran dalam laporan dan perlu dirungkai satu persatu.

“Berdasarkan semua laporan yang diterima ada kesalahan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan kita tumpuan siasatan kita ke arah itu.

“Saya sudah mengarahkan Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, Datuk Dev Kumar M Sree, untuk mengkaji sedalam-dalamnya perkara ini dan kita tidak mahu membuang masa oleh sebab laporan pertama dan kedua yang mendakwa berlakunya perbalahan,” katanya.

Beliau berkata, perbalahan yang dikesan dalam laporan ini membabitkan dua orang ahli perniagaan, termasuk usahawan rokok elektronik (vape) terbabit.

“Sekiranya benar, kami tidak mahu terperangkap dan membuang masa dalam siasatan kes perbalahan ini, dan itu sebabnya saya tegaskan siasatan perlu dibuat secara berhati-hati,” katanya.

Usahawan vape berkenaan mendakwa diperas ugut semasa ditahan oleh SPRM pada 1 Oktober lalu berhubung pembabitannya bersama dua individu yang kini sedang ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) dikenali sebagai Addy Kanna dan Alvin Goh, dipercayai terbabit dalam aktiviti Macau Scam dan pengubahan wang haram.-Haika Ghazi

Get real time updates directly on you device, subscribe now.