Covid-19: 5 kluster baharu dikesan hari ini

186

10 Dis : Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengumumkan terdapat 5 kluster baharu Covid19 yang telah dikesan pada hari ini melibatkan daerah di Kuala Lumpur, Selangor dan Johor.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, 5 kluster baharu itu ialah kluster tapak bina Jalan Bukit, kluster tapak bina Jalan Condong, kluster tapak Bina Jalan Stadium, kluster Jalan Dalam dan kluster Tenun Merah.

“Kluster baharu tapak bina Jalan Bukit ini melibatkan daerah Hulu Selangor. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke 67596) merupakan pekerja di sebuah tapak binaan, telah dilaporkan positif COVID-19 pada 2 Disember 2020 hasil saringan individu bergejala.

“Kluster baharu seterusnya ialah di kawasan tapak Bina Condong yang melibatkan daerah Lembah Pantai, Titiwangsa dan Cheras di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Kes-kes dalam kluster ini dilaporkan positif COVID-19 bermula pada 6 Disember 2020 melalui saringan tempat kerja di sebuah tapak binaan. Sehingga 10 Disember 2020, sejumlah 291 individu telah disaring, di mana 24 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini,”jelasnya dalam menerusi kenyataan berhubung perkembangan Covid19 hari ini.

Seterusnya menurut beliau, kluster baharu tapak bina Jalan Stadium pula melibatkan daerah Titiwangsa dan Lembah Pantai di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Sehingga 10 Disember 2020, sejumlah 97 individu telah disaring, di mana 15 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

Manakala dua lagi kluster baharu yang dikesan di Johor, melibatkan daerah Kulai, Batu Pahat dan Johor Bahru

“Kluster Jalan Dalam melibatkan daerah Kulai, Batu Pahat dan Johor Bahru. Kes indeks (iaitu kes ke-74278) telah dilaporkan positif COVID-19 pada 7 Disember 2020 melalui saringan individu bergejala. Sehingga 10 Disember 2020, sejumlah 108 individu telah disaring, di mana 13 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

“Kluster Tenun Merah pula melibatkan daerah Batu Pahat di negeri Johor. Kes indeks (iaitu kes ke-74273) telah dilaporkan positif COVID-19 pada 7 Disember 2020 melalui saringan individu bergejala. Sehingga 10 Disember 2020, sejumlah 287 individu telah disaring, di mana 23 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini,” jelasnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.