Bajet J-KOM dipotong hampir 50 peratus, baki RM40 juta

260

10 DIS: Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul bagi mengurangkan peruntukan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) yang bakal ditubuhkan di bawah seliaan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) yang dipotong sebanyak RM45 juta.

Potongan 47.4 peratus daripada keseluruhan peruntukan J-KOM, menerusi kertas pindaan yang diusulkan Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Abd Rahim Bakri itu diluluskan secara undian suara majoriti.

Kelulusan pemotongan peruntukan bagi J-KOM yang kini hanya tinggal RM40.5 juta berbanding peruntukan asal RM85.5 juta, diumumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.

ABD RAHIM BAKRI
ABD RAHIM BAKRI

Pada 25 November lalu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah mengumumkan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) dijenamakan semula sebagai J-KOM dengan peranan dan fungsi berbeza.

Terdahulu, Abd Rahim yang menggunakan Peraturan Mesyuarat 57(2) mencadangkan supaya Fasal 2 dalam teks bahasa Kebangsaan dan bahasa Inggeris Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 dipinda.

“Pindaan ini dengan menggantikan RM164,151,656,800 kepada RM164,106,656,800. Saya juga mohon mencadangkan jadual kepada RUU dipinda di bawah ruang jumlah, bagi maksud kepala bekalan B47, dengan menggantikan RM1,242,464,900 kepada RM1,197,464,900. Pindaan lain pada jumlah dengan menggantikan RM164,151,656,800 kepada RM164,106,656,800.

“Pindaan ini berbangkit daripada pengurangan jumlah wang yang diperuntukkan bagi maksud B47 yang dinyatakan dalam jadual kepada RUU, iaitu untuk mengurangkan RM45 juta daripada jumlah diperuntukkan menerusi kepala bekalan B47. Ini menerusi butiran 050100, perluasan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) (yang kini dijenamakan kepada J-KOM),” katanya.

Abd Rahim ketika penggulungan berkata, permohonan asal dikemukakan sebelum ini berjumlah RM128 juta yang membabitkan 948 kakitangan, namun Kementerian Kewangan hanya memperakukan RM85.5 juta bagi 500 petugas kontrak.

Menurut beliau, pengurangan RM45 juta daripada keseluruhan peruntukan asal J-KOM, seperti dibentangkan menerusi kertas pindaan itu ialah cukup besar.

“Matlamat J-KOM bertujuan membangun komuniti, khususnya di peringkat akar umbi, yang mengamalkan budaya ilmu, berkemahiran digital dan menghayati makna serta fokus patriotisme. Ini dilaksanakan dengan menggunakan pendekatan pemerkasaan komuniti,” katanya.

Dalam pada itu, menjawab celahan Ahli Parlimen PH Shah Alam, Khalid Abd Samad yang menuduh peranan JKOM bersifat propaganda kerajaan, Abd Rahim menyatakan, perkara itu adalah tidak tepat sama sekali.

Beliau menjelaskan J-KOM bermatlamat mewujudkan komunikasi dua hala antara kerajaan dan rakyat dengan penyaluran maklumat yang tepat, sahih serta bijaksana.

“Kaedah yang digunakan ialah membangunkan komuniti khususnya di peringkat akar umbi, mengamalkan budaya ilmu, berkemahiran digital dan menghayati makna serta fokus patriotisme menggunakan pendekatan mengupayakan komuniti.

“Justeru, saya ingin memberi jaminan J-KOM bukan jentera propaganda kerajaan kerana kita mahu menjadikan ia sebagai komunikasi dua hala,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.