210 individu dikompaun, 7 direman langgar SOP PKPP

60

10 DIS: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan 217 individu kerana didapati melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di seluruh negara, semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, 210 individu dikompaun manakala tujuh individu pula direman.

Jelasnya, antara kesalahan tersebut membabitkan 99 kes tidak memakai pelitup muka, gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (60), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (31), aktiviti pusat hiburan (17) dan lain-lain (10).

Sementara itu, Ismail berkata seramai 85,383 individu dilaporkan telah pulang ke Malaysia melalui pintu masuk sempadan antarabangsa sejak 24 Julai lalu.

“Semuanya ditempatkan di 77 Hotel dan 19 Institut Latihan Awam (ILA) serta Institut Pengajian Swasta di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah, Labuan dan Melaka.

“Daripada jumlah itu, 12,626 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib, 542 individu dihantar ke hospital untuk rawatan dan 72,215 individu dibenarkan pulang,” katanya dalam kenyataannya, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, menerusi Op Benteng, seramai 67 Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) ditahan selain empat kenderaan darat dan lapan bot dirampas, ujarnya.

“Orang ramai diminta menghubungi talian National Task Force (NTF) di 011 6251 1223 untuk menyalurkan maklumat berkaitan warga asing dan jenayah rentas sempadan,” katanya. – Haika Khazi

Get real time updates directly on you device, subscribe now.