Struktur semula dana khusus KKM tingkat kecekapan

116

9 DIS: Dakwaan pembangkang kononnya penstrukturan semula dana khusus untuk ubatan, farmasi dan nefrologi di bawah butiran program khas Belanjawan 2021 bagi Kementerian Kesihatan (KKM) mengelirukan adalah tidak benar sama sekali.

Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, penstrukturan itu merupakan strategi kerajaan dalam meningkatkan kecekapan serta keberkesanan perbelanjaan di samping mampu mengurangkan kerenah birokrasi khususnya melibatkan pembayaran.

Menurut beliau, dengan cara ini, segala pembayaran tanggungan yang perlu dibayar pada tahun sebelumnya akan menggunakan peruntukan kewangan tahun semasa yang membolehkan tiada isu kelewatan pembayaran timbul di samping penambah baikan ini membolehkan KKM memantau dan mengawal peruntukan secara menyeluruh dan lebih efisien.

“Ini akan membantu KKM mengoptimumkan sumber kewangan melalui kaedah perolehan sedia ada supaya lebih menjimatkan peruntukan kerajaan secara keseluruhan. Nak bagi contoh tentang perubatan am, peningkatan 1.43 peratus apabila ditambah dengan bekalan perubatan sebanyak RM272.073 juta.

“Ini tidak termasuk tambahan diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2021. Ubat biologik sebanyak RM6 juta. Ini bermakna dia ada penambahan. Saya bagi contoh, aktiviti negrologi terdapat peningkatan 2.33 peratus apabila ditambah dengan bekalan perubatan sebanyak RM201.54 juta.

“Ini belum lagi termasuk perbelanjaan pembentangan jawatan mengenai Peritononeal Dialisis sebanyak RM25 juta. Jadi, campur aktiviti nefrologi sebanyak RM282.9 juta berbanding 2020 sebanyak RM252.1 juta. Jadi, kebanyakan objek am yang kosong itu dimasukan balik wangnya dicampurkan dia adalah tinggi peruntukannya.

“Saya beri jawapan ini dan nyatakan dengan jelas ianya adalah peningkatan dan butiran kosong itu terjawab dengan data-data dan ingin saya tekankan penstrukturan semula ini tidak melibatkan sebarang pemotongan peruntukan malah terdapat peningkatan peruntukan yang disediakan bagi keperluan farmasi, hospital, klinik kesihatan dan klinik pergigian,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen PH Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dalam perbahasannya mempersoalkan butiran sifar peruntukan terhadap penstrukturan semula dana khusus di bawah butiran program khas.

Dewan Rakyat meluluskan belanjawan peringkat jawatankuasa bagi KKM setelah undian suara mendapati lebih ramai Ahli Parlimen yang bersetuju.

Sesi penggulungan oleh Dr Noor Azmi juga sering diganggu oleh wakil-wakil pembangkang sehingga menyebabkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun bersikap tegas dengan meminta Timbalan Menteri Kesihatan itu diberi ruang untuk menjawab isu-isu yang dibangkitkan semasa perbahasan

Dr Noor Azmi turut menafikan dakwaan Ahli Parlimen PH Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkenaan peruntukan KKM dikurangkan dalam Belanjawan 2021 seperti yang didakwa.

Menurutnya, bagi Belanjawan 2021, KKM menerima peruntukan sebanyak RM31.9 bilion merangkumi semua aspek kesihatan termasuk COVID-19 telah meningkat berbanding tahun lepas yang hanya memperoleh RM30.6 bilion.

“Daripada jumlah ini, RM27.2 bilion bagi berbelanjaan mengurus dan RM4.72 bilion untuk perbelanjaan pembangunan. Ini kenaikan yang sangat tinggi. KKM bukan sahaja menumpukan sektor kesihatan malah tumpuan secara menyeluruh contohnya pengecualian cukai.

“KKM buat penambahbaikan terhadap sektor kesihatan dan peruntukan juga meningkat setiap tahun jika dibandingkan sebelum ini.

“Setiap tahun, KKM menerima peruntukan yang besar dan kerajaan prihatin serta faham kerana kesejahteraan rakyat sentiasa diberi keutamaan,” katanya.

Sementara itu, bagi menjawab Ahli Parlimen BN Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias berkenaan status Klinik Komuniti, Dr Noor Azmi menyatakan, kajian teliti sedang dilaksanakan kerajaan terhadap penutupan klinik komuniti.

“Kementerian tak akan berkompromi terhadap isu aksesibiliti terhadap perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat. Oleh itu, kerajaan akan menangguhkan penutupan terhadap fasiliti yang belum mendapat kelulusan,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.