BERSATU, PAS sokong Saarani calon MB, PN kekal di Perak

797

9 DIS: Barisan Nasional (BN), PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bersetuju mencadangkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan, Datuk Saarani Mohamad sebagai calon Menteri Besar Perak yang baharu.

Perkembangan terkini itu dinyatakan oleh Setiausaha Agung ketiga-tiga parti iaitu Tan Sri Annuar Musa (BN), Datuk Takiyuddin Hassan (PAS) dan Datuk Seri Hamzah Zainudin (BERSATU) dalam kenyataan bersama, hari ini.

Keputusan itu dicapai dalam perbincangan mengenai pembentukan kerajaan negeri Perak antara Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Perbincangan yang menyaksikan permuafakatan antara ketiga-tiga parti itu turut disertai Annuar, Takiyuddin dan Hamzah.

Dengan permuafakatan itu, segala persoalan berhubung pencalonan Menteri Besar Perak bagi menggantikan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu kini selesai.

Menurut kenyataan tersebut, nama Saarani akan dipersembahkan kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk perkenan baginda.

“Perbincangan hari ini juga telah mencapai kata sepakat mengenai pelantikan-pelantikan lain dalam kerajaan negeri,” kata mereka.

Kenyataan itu menjelaskan, ketiga-tiga parti turut bersepakat untuk memperkukuhkan lagi kerjasama antara parti dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Perak dan di peringkat nasional demi kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat.

Dalam perbincangan tersebut, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO telah menyampaikan pernyataan maaf bagi pihak ADUN-ADUN BN di Perak atas kekhilafan yang berlaku.

Perak menyaksikan pertukaran Menteri Besar apabila usul undi percaya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak memihak kepada Ahmad Faizal. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.