PDRM siasat dakwaan peras ugut usahawan vape

156

9 DIS: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memulakan siasatan berhubung dakwaan usahawan rokok elektronik (vape) diperas ugut pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan seorang lelaki bergelar ‘Datuk’.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, siasatan dibuat selepas polis menerima laporan yang dibuat seorang usahawan rokok elektronik (vape) yang mendakwa diperas ugut semasa ditahan oleh beberapa pegawai kanan SPRM dan seorang lelaki bergelar Datuk, pada Ahad lalu.

Abdul Hamid berkata, pihak polis juga turut menerima laporan penafian daripada pihak SPRM berhubung dakwaan dibuat usahawan vape berkenaan.

“Setakat ini kita menerima dua laporan polis daripada usahawan terbabit dan laporan penafian yang dibuat oleh SPRM.

“Pada masa ini siasatan terhadap kedua-dua laporan berkenaan sedang dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman,” katanya seperti dilaporkan BH, hari ini.

Difahamkan, pengadu berusia 32 tahun itu sebelum ini ditahan pada 1 Oktober lalu di rumahnya di Wangsa Melawati, oleh sepasukan pegawai SPRM, selepas disyaki mempunyai kaitan dengan siasatan kes pengubahan wang haram membabitkan Addy Kanna dan Alvin Goh, yang pada masa ini sedang ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA).

Berikutan itu, Abdul Hamid berkata siasatan dilakukan secara menyeluruh bagi membolehkan pihak polis mendapatkan fakta sebenar kejadian berkenaan.

Terdahulu usahawan terbabit membuat laporan bahawa dia diarahkan untuk menukar nama hak milik dua kenderaan kepada seorang lelaki dikenali sebagai Datuk Ridzuan Abdullah, sebagai dorongan untuk membolehkan dia terlepas daripada dikenakan tindakan semasa siasatan kes pengubahan wang haram terhadap Addy Kanna dan Alvin Goh.

Malah, pengadu juga turut mendakwa diminta oleh beberapa pegawai SPRM supaya menyenaraikan Datuk berkenaan sebagai rakan kongsi dalam syarikat perabot yang diusahakannya.

Bagaimanapun SPRM membuat laporan penafian berhubung laporan oleh usahawan berkenaan semalam.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.