Kes meningkat, PKPD 3 lokasi di Bentong mulai esok

223

9 DIS: Kerajaan akan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) tiga lokasi dalam Mukim Bentong, Pahang, bermula selepas jam 12 tengah malam ini sehingga 23 Disember 2020.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu dibuat selepas sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) mendengar pengesahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkenaan peningkatan kes positif COVID-19 di Amber Court Apartment, RIA Apartment dan Rumah Kongsi Kampung Semaut di dalam mukim Bentong, Pahang.

Beliau berkata KKM telah melaksanakan saringan bermula 6 Disember 2020 dan sehingga 8 Disember 2020 sebanyak 55 kes positif COVID-19 telah direkodkan di mukim Bentong di mana majoriti adalah melibatkan pekerja warga negara asing di lokaliti-lokaliti ini.

“Penilaian risiko KKM mendapati ketiga-tiga lokaliti ini mempunyai risiko tinggi untuk berlaku penularan lebih ramai kerana kapasiti penduduk yang padat.

“Atas nasihat dan penilaian risiko KKM, sidang khas hari ini bersetuju melaksanakan PKPD di Amber Court Apartment, RIA Apartment dan Rumah Kongsi Kg Semaut bermula 10 Disember 2020 sehingga 23 Disember 2020.

“PKPD di ketiga-tiga lokaliti ini akan melibatkan seramai 4,351 orang penduduk. Pelaksanaan PKPD ini bagi membolehkan KKM mengesan dan membuat saringan bersasar kepada kontak rapat serta menyekat penularan COVID-19 dalam komuniti,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri juga mengesahkan bahawa kerajaan akan melanjutkan tempoh dua PKPD iaitu Taman Telipok Ria, Tuaran, Sabah dan di Taman-Taman Perumahan, Mukim Sungai Seluang, Kulim, Kedah, selama 14 hari lagi mulai 11 sehingga 24 Disember 2020 selepas mendapat nasihat dan penilaian risiko dibuat KKM.

Beliau berkata kerajaan sebelum ini telah melaksanakan PKPD di Taman Telipok Ria, Tuaran, Sabah mulai 27 November 2020 sehingga 10 Disember 2020.

Berikutan itu, KKM telah melaksanakan sebanyak 8,186 saringan dan telah merekodkan sebanyak 493 kes kumulatif positif COVID-19 di lokaliti ini.

“Sehingga kini KKM juga mengesahkan masih terdapat baki 1,386 sampel saringan yang masih menunggu keputusan. Atas nasihat dan penilaian risiko oleh KKM, Sidang Khas MKN hari ini bersetuju untuk melanjutkan PKPD di Taman Telipok Ria, Tuaran, Sabah selama 14 hari lagi mulai 11 sehingga 24 Disember 2020,” katanya.

Beliau berkata kerajaan sebelum ini telah melaksanakan PKPD di Taman-Taman Perumahan, Mukim Sungai Seluang, Kulim, Kedah termasukTaman Bayam, Taman Bayam Indah, Taman Kangkong 1 dan 2, Taman Halia, Taman Cekur Manis, Taman Kobis, Taman Sawi dan Taman Seri Limau.

“KKM telah melaksanakan 2,282 ujian saringan secara bersasar dan sebanyak 137 kes kumulatif positif COVID-19 telah direkodkan yang melibatkan penduduk di lokaliti-lokaliti ini.

“Sehingga kini, KKM turut mengesahkan masih terdapat baki 128 sampel saringan yang masih menunggu keputusan,” katanya.

Pada masa sama, Ismail Sabri mengesahkan penamatan lebih awal PKPB di Mukim Teja, Daerah Kampar, Perak kerana tiada lagi jangkitan dalam komuniti dikesan KKM.

Beliau berkata kerajaan sebelum ini telah melaksanakan PKPB di Mukim Teja, Daerah Kampar, Perak bermula 7 Disember 2020 sehingga 20 Disember 2020.

“KKM telah melaksanakan 410 ujian saringan secara bersasar dan sebanyak 43 kes positif COVID-19 telah direkodkan di mukim ini.

“Bagaimanapun, daripada jumlah itu sebanyak 41 kespositif COVID-19 berlaku dalam institusi Rumah Pengasih dan tiada kes dalam komuniti dikesan berikutan saringan kontak rapat.

“Atas nasihat KKM, sidang khas hari ini bersetuju untuk menamatkan PKPB di Mukim Teja, Daerah Kampar, Perak mulai esok iaitu lebih awal daripada tarikh yang telah dijadualkan,” katanya.

Ismail Sabri turut mengesahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 254 individu atas kesalahan ingkar arahan SOP semalam dan kesemuanya telah dikompaun.

Beliau berkata antara kesalahan ingkar SOP termasuk tidak memakai pelitup muka (107); gagal menyediakan peralatan/merekod butiran
pelanggan (67); gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (66) dan lain-lain (14).

Beliau berkata pihak berkuasa juga berjaya menahan 28 pendatang tanpa izin dan merampas sebuah bot serta tiga kenderaan darat dalam Ops Benteng dijalankan di seluruh negara, semalam. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.