Dewan Ulamak PAS yakin kemelut di Perak selesai

201

9 DIS: Kemelut penubuhan kerajaan Perak dan isu pelantikan Menteri Besar baharu akan diselesaikan dalam masa terdekat.

Keyakinan itu dinyatakan Ketua Dewan Ulamak PAS, Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh susulan perbincangan di antara pemimpin utama Bersatu, UMNO dan PAS hari ini

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Puteh  mengesahkan pertemuan itu membabitkan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Nik Muhammad Zawawi Salleh

“Kita akan selesaikan dan penyelesaiannya kita ambil secara bersama membabitkan ketiga-tiga parti. Mandat penyelesaian ini kita serah kepada ketiga-tiga pemimpin berkenaan,” katanya ketika ditemui PN BBC Portal.

Menurut Nik Muhammad Zawawi usaha kearah penyelesaian itu turut membabitkan Timbalan Presiden dan Setiausaha ketiga-tiga parti sebelum ini.

“Perbincangan sedang berlaku dan sehari dua ini saya yakin akan dapat diselesaikan cuma hasil perbincangan tidak boleh didedahkan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau tidak menafikan Dewan Ulamak dan PAS Pusat terkilan dengan apa berlaku di Perak kerana ia tidak dibincangkan terlebih dahulu sebelum usul percaya kepada Menteri Besar Perak dibentangkan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Jumaat.

Jelas beliau, jika sebarang cadangan yang dikemukakan mempunyai rasional demi kebaikan negeri, rakyat dan kerajaan, PAS tiada masalah untuk menerima atau menolaknya daripada ia diketengahkan.

“Pandangan daripada Dewan Ulamak sama dengan PAS Pusat. Isu di Perak ini kita rasa agak terkilan tapi kita yakin ada hikmahnya kerana apa yang berlaku tidak dibincangkan di peringkat Muafakat Nasional (MN) atau di peringkat Perikatan Nasional (PN).

“Sepatutnya sebelum apa-apa tindakan, kita patut bincang dulu kerana isu pertukaran menteri besar adalah isu kecil sahaja.

“Bagi Dewan Ulamak dan PAS, kita merasakan setiap perkara yang ada rasional kita buat tidak ada sebab untuk kita tidak terima,” jelasnya

Sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulamak, Nik Muhammad Zawawi juga optimis Bersatu dapat menerima apa jua keputusan dengan terbuka demi kebaikan bersama terutama bagi kepentingan   umat Islam.

“Saya yakin pimpinan Bersatu pun boleh rasional dan bersikap terbuka untuk menerima keputusan tersebut,” kata beliau lagi

Jawatan Menteri Besar Perak kini kosong selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu meletak jawatan Sabtu lepas apabila beliau gagal mendapat sokongan dalam usul undi kepercayaan ahli Dewan terhadap menteri besar semasa persidangan DUN pada Jumaat.

Pada Isnin, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memutuskan kerajaan PN (PN) Perak melibatkan ADUN daripada UMNO, PAS dan Bersatu perlu terus dipertahankan.

Bagaimanapun, usaha itu terhalang selepas Bersatu dan PAS masih belum membuat keputusan untuk menyokong UMNO yang masih kurang enam kerusi bagi membentuk kerajaan negeri baharu.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.