Caruman program perlindungan PENJANA Gig terendah

85

9 DIS: Caruman 30 peratus yang perlu dibayar orang bekerja sendiri (OBS) dalam sektor ekonomi gig menerusi program perlindungan PENJANA Gig adalah paling rendah berbanding kadar ditetapkan penyedia insurans konvensional.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, berkata faedah yang disediakan menerusi skim keselamatan sosial pekerjaan sendiri di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) itu adalah lebih baik dan komprehensif.

“Di bawah PENJANA Gig, kerajaan membiayai sebanyak 70 peratus bayaran caruman manakala baki 30 peratus dibayar oleh OBS membabitkan platform penyedia perkhidmatan menerusi caruman pelan kedua iaitu RM232.80 untuk tempoh perlindungan setahun.

“Pendapatan yang diinsuranskan di bawah pelan kedua adalah sebanyak RM1,550 di mana OBS hanya perlu membayar sebanyak RM69.80 sahaja manakala baki 70 peratus iaitu RM163 ditanggung oleh kerajaan.

“Kadar RM5.82 sebulan atau RM69.80 setahun adalah lebih murah berbanding penyedia insurans konvensional di pasaran sebagai contoh RM7.12 sebulan atau RM85.44 setahun dengan kadar paling rendah bagi penyedia insurans konvensional,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Bebas Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah yang meminta kerajaan menyatakan sebab caruman inisiatif PENJANA Gig RM69.80 dikatakan terlalu mahal.

Menjawab soalan tambahan Amiruddin mengenai tindakan kerajaan untuk memastikan lebih ramai OBS mengambil bahagian dalam program berkenaan, Saravanan berkata, pelbagai usaha serta promosi sedang dilaksanakan untuk meningkatkan lagi jumlah penyertaan.

“Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sebahagian besar yang terbabit dalam ekonomi gig adalah dalam kalangan B40 dan kebanyakan mereka tidak mempunyai simpanan serta jaringan keselamatan.

“Sebab itu kita berusaha menjadikan produk PERKESO sebagai jenama pilihan rakyat negara ini kerana pelbagai bantuan boleh disalurkan kepada mereka yang mencarum dengan PERKESO,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.