Belanjawan Melaka catat lebihan, peruntukan bertambah

101

9 DIS: Belanjawan 2021 kerajaan negeri Melaka berjaya mencatatkan lebih 17 tahun berturut-turut sejak 2005 dengan peruntukan sebanyak RM445.86 juta dengan hasil negeri dianggarkan RM445.96 juta.

Belanjawan bertema Melaka Rumahku: Merancak Ekonomi, Membahagia Rakyat, Menggamit Dunia dibentangkan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali itu menyaksikan peningkatan peruntukan kira-kira 14.32 peratus, berbanding belanjawan tahun lalu sebanyak RM390 juta.

Sulaiman berkata, belanjawan itu merangkumi perbelanjaan bekalan berjumlah RM436.38 juta, manakala perbelanjaan tanggungan sebanyak RM9.48 juta.

Melaka
Belanjawan Melaka 2021 dibentangkan dalam sidang DUN Melaka hari ini.

“Daripada perbelanjaan bekalan, sebanyak RM177.54 juta diperuntukkan di bawah perkhidmatan dan bekalan, diikuti pemberian dan kenaan bayaran tetap (RM142.40 juta); emolumen (RM111.87 juta); aset (RM3.97 juta) dan perbelanjaan lain (RM0.59 juta).

“Di bawah anggaran perbelanjaan pembangunan pula, sebanyak RM75 juta akan diperuntukkan untuk tahun depan dengan RM53.74 juta daripadanya adalah sumber hasil negeri.

“Sebanyak RM21.26 juta lagi adalah pemberian Geran Tahap oleh kerajaan Persekutuan,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (2021) 2020 pada Persidangan Ketiga (Bajet), Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di Seri Negeri, Ayer Keroh, hari ini.

Dalam pada itu, Sulaiman memberitahu kutipan hasil tahun 2021 dijangka akan diperolehi sebanyak RM155.79 juta, manakala hasil bukan cukai pula dianggarkan berjumlah RM272.28 juta.

Menurut beliau, sebanyak RM17.89 juta lagi merupakan terimaan bukan hasil daripada pemberian kerajaan Persekutuan dan bayaran balik pinjaman agensi-agensi kerajaan negeri.

“Malah kerajaan negeri juga berjaya mengurangkan jumlah hutang kira-kira RM178.39 juta kepada kerajaan Persekutuan iaitu pengurangan sebanyak 21.71 peratus daripada RM821.63 juta pada tahun 2019 kepada RM643.24 juta pada tahun ini,” katanya.

Ketika membentangkan belanjawan itu, Sulaiman turut berkata, ia berpaksikan kepada lima prinsip TERAS iaitu dengan penekanan Teknologi, ‘Entrepreneurship’, Revolusi Industri dan Ekonomi, serta Antarabangsa dan Sejahtera.

“Bagi merealisasikan prinsip tersebut, sebanyak 12 strategi telah direncanakan untuk menjadikan Melaka sebuah negeri lebih berdaya maju dalam merancak pemulihan ekonomi pasca pandemik Covid-19,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata belanjawan negeri itu adalah bajet pemulihan ekonomi pasca-COVID-19 yang mengutamakan kebajikan rakyat dalam merancakkan pertumbuhan ekonomi melalui inisiatif yang dapat meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Menurut beliau, kerajaan negeri akan terus berusaha untuk memulihkan prestasi kewangan, selain memberi fokus kepada langkah untuk mengawal defisit semasa, mengurangkan hutang dan meningkatkan rizab kerajaan negeri.

“Ia juga untuk menyelaraskan semula perbelanjaan yang sepatutnya ditanggung kerajaan Persekutuan dan mengaktifkan pembabitan jalinan kerjasama antara kerajaan dan swasta.

“Walaupun belum setahun memimpin, kerajaan Melaka berjaya mengurangkan hutang kepada kerajaan Persekutuan daripada RM821.63 juta pada tahun lalu kepada RM643.24 juta tahun ini, iaitu hampir 21.71 peratus dengan kejayaan pengurangan hutang berjumlah RM178.39 juta,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.