Bajet KPKT lulus, komplot PH serba tak jadi

985

9 DIS: Biarpun pembangkang mempertikaikan kewajaran dana lebih RM8.627 juta diberikan bagi menjayakan program khas sukarelawan Penggerak Komuniti Tempatan (PeKT), namun Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tetap lulus menerusi undian belah bahagi yang menyaksikan 106 Ahli Parlimen menyokong berbanding 96 tidak bersetuju.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun ketika mengumumkan keputusan itu turut menyatakan, seramai 18 Ahli Parlimen tidak hadir ketika pengundian dilakukan.

Undian belah bahagi dijalankan selepas lebih 15 Ahli Parlimen bangun menyokong supaya RUU itu diputuskan menerusi kaedah itu.

Terdahulu, blok pembangkang gagal dalam undian suara bagi menggugurkan butiran berkaitan peruntukan berjumlah RM8.627 juta bagi program khas Penggerak Komuniti Tempatan (PeKT) dari peruntukan keseluruhan RM3.23 bilion diperuntukan kepada KPKT dalam Belanjawan 2021.

Keputusan itu diumumkan oleh Timbalan Yang Dipertua, Datuk Mohd Rashid Hasnon selepas diputuskan melalui undian suara majoriti selepas dibahas oleh lapan Ahli Parlimen.

Sementara itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, dalam penggulungannya menjelaskan tujuan utama kementerian mewujudkan PeKT adalah untuk menjayakan Dasar Komuniti Negara (DKN) yang dilancarkan pada Februari 2019.

Beliau berkata semua aktiviti PEKT adalah tertakluk kepada DKN dan mempunyai petunjuk prestasi utama (KPI) tersendiri yang perlu dicapai bukan dibuat secara semberono.

“Mereka yang dilantik dan dipilih sebagai sukarelawan PeKT adalah berkelayakan dan disaring serta menjalani latihan mengikut sistem kerajaan.

“Sebagai permulaan ia sudah diwujudkan di 19 projek perumahan rakyat (PPR) di seluruh negara. Lima perkara dilaksanakan di PPR berkenaan termasuklah membudayakan normal baharu seperti membudaya pemakaian pelitup muka dalam kalangan pelajar sekolah.

“Sebagai contoh, menerusi inisiatif berkenaan sebuah PPR Kota Bharu mampu mengerakkan program recyle dengan 18,000 kg sampah untuk dikitar semula,” katanya ketika menjawab pertanyaan dikemukakan oleh empat Ahli Parlimen PH yang meminta KPKT menjelaskan kewajaran penubuhan PeKT dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Empat Ahli Parlimen PH berkenaan ialah Chang Lih Kang (Tanjung Malim); Fahmi Fadzil (Lembah Pantai); Hassan Abdul Karim (Pasir Gudang) dan Datuk Wilfred Madius Tangau (UPKO – Tuaran).

Dalam pada itu, Zuraida memberikan jaminan bahawa kerajaan akan berusaha bersungguh-sungguh untuk merungkai punca sebenar kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, dipercayai akibat dipukul perusuh dalam rusuhan di sebuah kuil Hindu di USJ 25, Seafield, Subang Jaya pada 26 November 2018.

Berikutan itu Zuraida yang juga Ahli Parlimen BERSATU Ampang, menafikan kerajaan mengabaikan kes kematian Adib kerana ia masih disiasat oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kes Adib ini bukan kita tidak ambil peduli dan sebenarnya sayalah mengambil peduli pasal kes ini sewaktu kematian beliau (Allahyarham Adib). Jadi kes Adib ada penyelesaiannya.

“Ia berikutan keputusan inkues sebelum ini yang mengesahkan bahawa kematian Adib ada kaitan dengan unsur jenayah bukannya akibat kemalangan seperti didakwa sesetengah pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab persoalan dibangkitkan oleh dua Ahli Parlimen PH iaitu RSN Rayer (Jelutong) dan Datuk Mahfuz Omar (Pokok Sena) yang meminta kerajaan menjelaskan mengenai perkembangan terkini siasatan kes pembunuhan Adib yang sehingga kini masih tiada penyelesaiannya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.