959 kes baharu COVID-19, Selangor masih tertinggi

200

9 DIS: Sebanyak 959 kes baharu dicatatkan hari ini, menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 76,265 kes.

Ketua Pengarah Keihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 10,748 kes.

Menurut beliau, daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat enam kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan COVID-19 dalam negara pula adalah 953 kes.

“Selangor melaporkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 277 kes (28.9 peratus). Ini diikuti oleh Sabah sebanyak 203 kes (21.2 peratus) dan Kuala Lumpur sebanyak 129 kes (13.5 peratus).

“Sebanyak 27 kes (2.8 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara yang membabitkan Kluster Tembok (23 kes) dan Kluster Penjara Seberang Perai (4 kes),” katanya dalam sidang media yang disiarkan secara langsung melalui Facebook, hari ini.

Dr Noor Hisham menambah, sehingga kini, terdapat 127 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 61 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau memberitahu, sebanyak lima kes kematian COVID-19 direkodkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 393 kes (0.52 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Dr Noor Hisham turut memaklumkan sebanyak 1,068 kes sembuh hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada COVID-19 adalah 65,124 kes (85.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Empat kluster baharu dikesan hari ini iaitu Kupi-kupi di Penampang, Tapak Bina Ikon Bintang di Lembah Pantai dan Kepong, Bandar Impian di Johor, Pasir Puteh dan Kuala Kangsar serta Jalan Kemang di Port Dickson.

Sebanyak 185 kluster masih aktif dan 38 kluster mencatatkan pertambahan jumlah kes dan tiga yang tertinggi adalah Kluster Jalan Genting (119 kes), Kluster Bintang (45 kes) dan Kluster Tapak Bina Muda (39 kes).

Secara keseluruhan, sebanyak 211 kluster tamat termasuk Gala, Harmoni, Mahkota dan Bah Kenangan yang berakhir hari ini. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.