Wujudkan Laluan Hijau Timbal Balik Malaysia-Brunei

76

8 DIS: Malaysia berharap Brunei dapat mempertimbangkan cadangan mewujudkan Laluan Hijau Timbal Balik melibatkan kedua-dua negara sebagai usaha menghidupkan semula sektor ekonomi yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan perkara itu kepada Pesuruhjaya Tinggi Brunei, Datuk Paduka Alaihuddin Mohd Taha yang membuat kunjungan perpisahan di pejabatnya di bangunan Parlimen, semalam.

“Sebagai negara berjiran, kami sependapat Malaysia dan Brunei tidak harus menjadikan pandemik itu sebagai halangan dalam usaha meningkatkan lagi kerjasama yang ada,” katanya dalam status Facebook beliau, hari ini.

Alaihuddin akan menamatkan perkhidmatannya hujung bulan ini.

Pada pertemuan itu, mereka membincangkan mengenai usaha untuk meningkatkan lagi hubungan dua hala sedia ada antara kedua-dua negara dalam pelbagai aspek termasuk cabaran yang perlu dilalui akibat pandemik COVID-19.

Berhubung jemputan rasmi oleh Sultan Brunei untuk Muhyiddin mengadakan lawatan rasmi ke negara itu, Perdana Menteri berbesar hati menyatakan menerima jemputan berkenaan.

“Saya nyatakan hasrat untuk melakukannya pada suku pertama tahun hadapan, bersekali dengan Rundingan Pemimpin Tahunan kali ke-23,” jelasnya.

Muhyiddin turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Alaihuddin atas khidmat, sumbangan dan persahabatan yang ditawarkan sepanjang enam tahun perkhidmatan beliau di Malaysia. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.