Sabah mahu tuntut hak minyak, gas dari Petronas

100

8 DIS: Sabah akan mengambil langkah yang sama seperti Sarawak untuk menuntut hak terhadap minyak dan gas yang dikeluarkan di negeri itu.

Timbalan Ketua Menteri II Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, berkata kejayaan Sarawak menerusi syarikat milik kerajaan negeri itu memeterai perjanjian dengan Petronas, semalam juga perlu dicapai di negeri ini.

Berikutan itu, katanya, kerajaan negeri Sabah akan mengemukakan perkara itu dan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan Sabah juga menandatangani perjanjian sama dengan Petronas.

jeffrey kitingan
JEFFREY G KITINGAN

“Tahniah kepada kerajaan Sarawak dalam usahanya menuntut hak negeri mereka. Bukan rahsia lagi kerajaan Sarawak melakukan semua perkara sukar dalam perjuangan ini dan kita berterima kasih atas usaha mereka.

“Bagi Sabah pula, kerajaan negeri akan membuat susulan berhubung perkara ini dan mengambil tindakan sewajarnya supaya kita juga boleh menandatangani perjanjian sama dengan Petronas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Sarawak menandatangani perjanjian komersial dengan PETRONAS, sekali gus membolehkan kerajaan negeri itu menerusi anak syarikatnya, Petroleum Sarawak Berhad (PETROS), memainkan peranan besar dalam industri minyak dan gas dengan kerjasama Petronas.

Jeffrey yang juga Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) berkata, perjanjian itu menunjukkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meneruskan komitmen dan ikhlas memulangkan hak Sabah dan Sarawak seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Katanya, perjanjian itu dapat membantu meningkatkan pembangunan ekonomi di Sabah dan mempercepatkan perindustrian di luar bandar ketika ini sangat jauh ketinggalan berbanding Semenanjung.

Apa lebih penting, katanya, perjanjian itu dapat mengukuhkan lagi hubungan antara persekutuan dengan negeri, melaksanakan komitmen Persekutuan yang belum tertunai dan memastikan sokongan berterusan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Jeffrey turut menegaskan kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak akan bersikap tunggu dan lihat seperti dilakukan kerajaan pimpinan Parti Warisan Sabah (WARISAN) dalam menuntut MA63 sebelum ini.

“Kita akan bekerjasama rapat dengan kerajaan Sarawak dalam usaha kita untuk memastikan semua hak di bawah MA63 dipenuhi dan membetulkan semua pelanggaran berlarutan selama beberapa dekad,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.