PM ucap takziah petugas PKD Pekan maut kemalangan

108

8 DIS: Tan Sri Muhyiddin Yassin menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga dua petugas barisan hadapan dari Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Pekan, Pahang, yang terkorban dalam kemalangan jalan raya, semalam.

Perdana Menteri yang sedih dengan kejadian itu berkata, beliau dimaklumkan kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan untuk melakukan pemeriksaan kesihatan berkala di perkampungan Orang Asli.

“Beginilah dugaan dan cabaran dilalui petugas kesihatan setiap hari bagi memastikan setiap rakyat Malaysia mendapat perkhidmatan kesihatan terbaik.

“Inilah pengorbanan petugas kesihatan dan barisan hadapan yang lain kepada bangsa dan negara. Saya serta pihak kerajaan amat menghargainya,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya, hari ini.

Dalam kemalangan jam 10.20 pagi semalam, dua kakitangan PKD Pekan maut, manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 32 Jalan Pekan-Nenasi-Rompin, Tanjung Batu, Pahang.

Mangsa yang terkorban dikenali sebagai Mohd Zuhairi Abdullah yang memandu pikap jenis Toyota Hilux dan jururawat, Julayha Kudus, 39.

Tiga yang cedera ialah penumpang pikap iaitu pegawai perubatan PKD Pekan, Dr Muhd Ikhwan Ramlee, 29, serta pemandu Perodua Myvi, Azlida Mohamad Ramli, 41 dan anak perempuannya, Nur Mawaddah Mazuha @ Nazuha Umur, 5.

Dua lagi mangsa Ahmad Qardhawi Najmi Mazuha @ Nazuha, 12, yang menaiki Myvi dan pemandu lori tangki berusia 34 tahun tidak mengalami kecederaan.

Kejadian dipercayai berlaku apabila lori tangki dari arah Rompin menghala Kuantan dipercayai terbabas sebelum memasuki laluan bertentangan dan berlanggar dengan dua lagi kenderaan.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh turut mendoakan semoga roh kedua-duanya mangsa terbabit dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh.

“Kepada keluarga Allahyarham Mohd Zuhairi dan Allahyarhamah Julayha, saya bagi pihak kerajaan ingin mengucapkan takziah dan berharap mereka tabah menghadapi ujian ini.

“Saya juga difahamkan seorang pegawai perubatan turut cedera dalam kemalangan itu dan kini sedang dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan. Saya doakan Dr Muhd Ikhwan diberikan kekuatan dan kesembuhan, Insya-Allah,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.