Kerjasama bentuk kerajaan Perak perlu diteruskan – Zahid

107

8 DIS : Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengulangi komitmen supaya persepakatan dan kerjasama kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Perak antara UMNO, Bersatu dan PAS dapat diteruskan.

Setakat ini menurut beliau, calon Menteri Besar Perak yang baharu daripada UMNO telah mempunyai sokongan lebih daripada mencukupi.

“Nama calon itu juga telah dipersembahkan kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah semasa saya menghadap baginda di Istana Kinta di sini pagi ini.

“Itulah (nama calon) yang kita telah persembahkan kepada tuanku Sultan dan saya amat yakin ada sokongan majoriti lebih daripada mencukupi,” katanya kepada pemberita selepas menghadap Sultan Nazrin Shah selama kira-kira setengah jam.

Hadir sama ADUN Kota Tampan Datuk Saarani Mohamad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak.

Ahmad Zahid berkata pengumuman nama calon Menteri Besar akan dibuat menerusi kenyataan oleh pihak Istana.

Sabtu lepas, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu telah meletak jawatan ekoran gagal mendapat sokongan dalam usul undi percaya majoriti Ahli Dewan terhadap Menteri Besar semasa sidang DUN sehari sebelumnya.

Ahmad Faizal yang juga ADUN Chenderiang hanya memperoleh 10 sokongan berbanding 48 menentang, manakala satu berkecuali menerusi usul yang dibawa Datuk Abd Manap Hashim (BN-Pengkalan Baharu),

DUN Perak merangkumi 25 BN, DAP (16), Amanah (5), Bersatu (5), PKR (3) dan PAS (3), manakala Gerakan dan Bebas masing-masing satu kerusi.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.