Kelulusan Tamaco beli hartanah THP ditarik balik

514

8 DIS: Kerajaan telah memutuskan untuk menarik balik kelulusan perolehan hartanah secara tidak langsung oleh Tamaco Plantation Sdn Bhd (Tamaco) daripada TH Plantations Berhad (THP) pada 4 Disember lalu.

Perkara itu dijelaskan oleh Menteri-menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed (Ekonomi) dan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam kenyataan bersama, hari ini.

Menurut mereka, keputusan itu dibuat berdasarkan situasi semasa dengan mengambil kira pelbagai faktor bagi membolehkan kerajaan melakukan penelitian lanjut.

“Kami bertekad untuk terus memajukan THP dan Lembaga Tabung Haji (TH) dengan lebih berjaya dan gah di dalam negara serta di persada antarabangsa.

“Kami berdoa dan bermunajat kepada-Nya semoga Allah SWT memberkati usaha kami dalam memartabatkan institusi TH,” kata mereka.

Kenyataan itu turut menjelaskan bahawa permohonan perolehan hartanah secara tidak langsung oleh Tamaco melalui langganan 100 peratus saham dalam Bumi Suria Ventures Sdn Bhd dan Maju Warisanmas Sdn Bhd daripada THP adalah tertakluk kepada Garis Panduan Perolehan Hartanah yang telah berkuat kuasa sejak 1 Mac 2014.

Garis panduan itu telah menetapkan bahawa sebarang permohonan perolehan tanah secara langsung atau tidak langsung yang mengakibatkan pengurangan pemilikan hartanah kepentingan bumiputera oleh bukan bumiputera adalah tertakluk kepada pemilikan sekurang-kurangnya 30 peratus kepentingan bumiputera.

Berdasarkan ketetapan itu, surat kelulusan bertarikh 24 November 2020 telah dikeluarkan ke atas permohonan ini dengan syarat pihak Tamaco hendaklah mewujudkan pemilikan ekuiti sekurang-kurangnya 30 peratus kepentingan bumiputera dalam tempoh satu tahun daripada tarikh surat kelulusan dikeluarkan.

Kelulusan secara bersyarat ini diberi atas justifikasi yang telah diberikan oleh pihak THP demi kelangsungan operasi dan kestabilan kewangan syarikat. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.