Keahlian Srikandi BERSATU bukan syarat sertai YKN

165

8 DIS: Dakwaan pihak tertentu kononnya kerajaan telah melantik sebahagian ahli Yayasan Kebajikan Negara (YKN) daripada Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) adalah tidak benar sama sekali.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun memberitahu, pemilihan ahli-ahli YKN terbuka kepada semua dan di peringkat awal, hanya 30 orang sukarelawan sahaja yang telah dilantik dalam memastikan pelaksanaan yayasan itu lebih berkualiti berdasarkan pengalaman yang ada pada setiap ahli.

“Bila kita memilih, kita tidak ada menyebut latar belakang politik. Bila kita memberi sumbangan pun kita tak tanya pun parti dari mana. Itu bukanlah salah satu syarat untuk menjadi Ahli YKN. Mereka bukan dilantik mengikut parlimen namun seorang sukarelawan akan menjaga pelbagai merentasi daerah dan sebagainya.

“Dan ekoran itulah dalam sukarelawan perbezaannya Yang Berhormat Segambut turun menyampaikan bantuan, kita akan meminta YKN yang sampaikan. Sebab YKN akan turun padang dan membuat siasatan. Kita tak bagi kepada ahli politik dan NGO dan kita buka kepada semua,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

HANNAH YEOH
HANNAH YEOH

Terdahulu, Ahli Parlimen PH Segambut, Hannah Yeoh dalam perbahasannya dan ketika mencelah penggulungan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) membangkitkan dakwaan tentang lantikan ahli-ahli YKN dalam kalangan ahli Srikandi BERSATU.

Dewan Rakyat meluluskan belanjawan bagi KPWKM setelah undian suara mendapati lebih ramai Ahli Parlimen yang bersetuju.

Sementara itu, bagi menjawab Ahli Parlimen PAS Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman meminta kerajaan menjelaskan tentang permasalahan sosial yang semakin merunsing dalam kalangan masyarakat, Rina memberitahu kerajaan telah menubuhkan Pusat Sokongan Sosial Setempat merupakan inisiatif baharu kementerian untuk mendekati masyarakat dengan menyediakan akses di peringkat lapangan bagi orang ramai.

Menurut beliau, langkah itu dilaksanakan bagi mendapatkan maklumat dan perkhidmatan apabila berhadapan dengan masalah sosial di samping akan menyediakan khidmat kepada semua golongan dan tidak terhad hanya kepada kumpulan sasar wanita sahaja.

“Antara perkhidmatan yang disediakan adalah khidmat nasihat kaunseling, intervensi serta perlindungan sementara sebelum mangsa dan pengadu dirujuk kepada kementerian dan organisasi berkaitan bagi mendapatkan perlindungan selanjutnya.

“Justeru itu,bagi memastikan perkhidmatan yang ditawarkan mempunyai impak positif, kementerian akan menitikberatkan aspek tindakan susulan kes-kes yang diterima melalui pusat ini termasuk mangsa dan pengadu akan mengikuti aktiviti dan program yang bersesuaian.

“Mengambil kira perkara ini perlu ditangani pelbagai pihak, maka akan bekerjasama dengan agensi yang berkaitan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Kementerian juga akan mengumpulkan data dan maklumat bagi memberi gambaran sebenar masalah sosial di lapangan yang boleh dimanfaatkan untuk menambah baik polisi dan aktiviti yang lebih berkesan,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.