Fitch Ratings: Apa yang sebenarnya PH mahu?

297

8 DIS: Tindakan pemimpin pembangkang yang mempolitikkan semakan semula penarafan ke atas Malaysia oleh Fitch Ratings adalah tidak bertanggungjawab.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata demikian merujuk kenyataan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) yang mengelirukan mengenai penurunan satu anak tangga daripada A- kepada BBB+ yang diumumkan 4 Disember lalu oleh firma penarafan antarabangsa itu.

Beliau mengakui sudah menjangka soal penarafan itu akan dijadikan modal politik untuk menyerang kerajaan, sedangkan Malaysia bukan satu-satunya negara yang diturun taraf oleh Fitch Ratings, walhal 100 negara mengalami penurunan penarafan tahun ini termasuk United Kingdom (UK), Hong Kong, Chile dan Laos.

Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz
Tengku Zafrul kecewa dengan sikap pemimpin-pemimpin PH dalam isu penarafan Fitch Ratings.

“Amat mengecewakan apabila pemimpin-pemimpin PH yang menandatangani kenyataan media itu adalah mereka yang selama ini berkata yang sebaliknya.

“Pada 24 Ogos lalu, YB (Yang Berhormat) Port Dickson merangkap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri menyatakan di Dewan Rakyat bahawa penarafan bukan isu utama yang patut diberatkan kerajaan dan soal defisit tidak menjadi persoalan kerana tumpuan sekarang adalah untuk menjana pertumbuhan.

“Pada bulan sama, YB Bagan, Lim Guan Eng, pula dalam Dewan Rakyat menyeru kerajaan berbelanja lebih dalam senario wabak COVID-19 ini walaupun hutang akan naik, defisit fiskal akan naik tetapi ini amat diperlukan,” katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebook hari ini.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, dengan memegang semangat keterbukaan, beliau ingin bertanya apakah sebenarnya yang dimahukan PH daripada isu penarafan ini.

“Sukar untuk kita fahami jika semalam mereka mendesak kerajaan jangan terlalu hiraukan hutang dan rating, tetapi hari ini pula menyelar kerajaan kerana kejatuhan rating itu,” katanya.

Menjelaskan faktor besar dinyatakan Fitch Ratings, Tengku Zafrul berkata firma penarafan antarabangsa itu beberapa kali dalam laporan mereka menyatakan penurunan penarafan berkaitan ketidaktentuan situasi politik negara.

Bagaimanapun, Tengku Zafrul menegaskan pada masa sama, Fitch Ratings dalam kenyataan mereka mengiktiraf pelbagai usaha kerajaan.

“Pertama, unjuran pengurangan defisit fiskal daripada 6 peratus kepada 5.4 peratus untuk 2021 dan seterusnya kepada 4.5 peratus sehingga 2023 dikatakan sasaran yang boleh dicapai.

“Kedua, kerajaan mengunjurkan pertumbuhan ekonomi antara 6.5 peratus ke 7.5 peratus bagi 2021. PH sering mengatakan unjuran ini terlalu optimistik, namun Fitch Ratings sendiri mengunjurkan pertumbuhan pada kadar 6.7 peratus sejajar dengan unjuran kita sendiri.

“Institusi lain seperti IMF (Tabung Kewangan Antarabangsa) pula mengunjurkan pertumbuhan sehingga 7.8 peratus iaitu lebih tinggi daripada unjuran kerajaan. Ini secara amnya menunjukkan keyakinan kepada kebolehan ekonomi Malaysia untuk melonjak kembali.

“Ketiga, walaupun penarafan diturunkan, tinjauan atau ‘outlook’ telah bertukar daripada negatif kepada stabil,” katanya.

Merujuk kenyataan kepemimpinan PH yang mengelirukan, Tengku Zafrul berkata beliau dan rakyat mempersoalkan pendirian serta perkataan bercanggah ini dan mereka diminta menyatakan pendirian yang mana satu lebih penting – sama ada penarafan dan rating atau perbelanjaan untuk rakyat.

Menyingkap apa yang berlaku di Parlimen, beliau berkata Ahli Parlimen PH sendiri menyatakan kerajaan perlu meningkatkan perbelanjaan kerana peruntukan memerangi COVID-19 tidak mencukupi.

Berdasarkan pendirian sedemikian, beliau berharap ‘YB’ terbabit akan konsisten dalam menyokong rang undang-undang (RUU) yang diusulkan kerajaan untuk menambah peruntukan Kumpulan Wang COVID-19 sebanyak RM20 bilion dalam sidang Parlimen yang sedang berlangsung ketika ini. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.