COVID-19 uji ketahanan sistem penjagaan kesihatan

41

8 DIS: Pandemik COVID-19 menyedarkan semua pihak serta memberi banyak ruang untuk mengambil iktibar terhadap kesediaan dan ketahanan sistem penjagaan kesihatan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, kemampuan yang kukuh dalam kesediaan dan respons terhadap wabak itu membantu kementeriannya memerangi pandemik tersebut.

“Kementerian Kesihatan telah mengakui bahawa persekitaran penjagaan kesihatan pada masa ini mewujudkan beberapa cabaran fiskal.

“Sistem penjagaan kesihatan bersepadu akan menyediakan penjagaan kesihatan yang baik kepada rakyat Malaysia dengan berkesan dan efisien,” katanya dalam ucap tama pelancaran program Pengurusan Pendapatan Digital dalam Penjagaan Kesihatan Pascapandemik COVID-19 secara maya di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau menambah, digitalisasi boleh memainkan peranan penting dalam mencapai kelestarian kewangan.

Dr Adham memberitahu, kita perlu menyelaraskan secara sistematik keseluruhan spektrum perkhidmatan penjagaan kesihatan, daripada penjagaan primer, tertier ke pertengahan dan jangka panjang untuk mencapai matlamat rawatan berpusatkan pesakit.

“Saya gembira dapat melihat perkembangan yang dicapai beberapa tahun ini dan, dengan kemajuan infrastruktur yang ada, kita boleh meneroka dengan membawa rawatan kesihatan terus ke rumah pesakit menerusi telekesihatan atau telerundingan,” jelasnya.

Menurut beliau, inovasi ini akan meningkatkan kemudahan dan akses kepada nasihat tepat pada masanya.

“Tahun 2020 ini menjadi sukar kerana pandemik ini bukan sahaja meragut nyawa tetapi juga memberi kesan kepada ekonomi kita. Sempadan baharu dibuat berdasarkan krisis yang tidak pernah terjadi sebelum ini di dunia dan beralih ke norma baharu melalui kehidupan harian dan amalan perniagaan,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.