Bukan kuasa Speaker ubah nombor giliran usul MP

339

8 DIS: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai kuasa untuk menaikkan giliran usul percaya atau tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendahului urusan kerajaan yang lain.

Menurut beliau, berdasarkan Peraturan Mesyuarat dan konvensyen sistem berparlimen Westminter, hanya menteri Kabinet yang boleh berbuat demikian.

Azhar memberitahu, keputusan berhubung perkara tersebut dibuat setelah melakukan penyelidikan yang terperinci.

“Saya tak faham ramai Ahli-ahli Parlimen, cendekiawan, peguam malah bekas Peguam Negara pun kata saya ada kuasa sebegitu rupa. Saya tak ada kuasa.

“Kalau mana-mana Yang Berhormat berminat untuk mengetahui secara panjang lebar, saya bersedia menunjukkan penyelidikan saya kepada semua, saya tak buat suka-suka,” jelasnya selepas sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat hari ini berakhir.

Sebelum itu, Ahli Parlimen PH Jelutong, RSN Rayer membangkitkan tentang giliran usul percaya dan tidak percaya terhadap Muhyiddin yang dikemukakan oleh beberapa Ahli Parlimen pembangkang.

Azhar menambah, isu serupa pernah dibangkitkan di Parlimen Britain pada 2018 dan Yang Dipertuanya turut memberi penjelasan yang sama berhubung kuasa memberi keutamaan terhadap usul yang dikemukakan oleh Ahli-Ahli Parlimen.

Apabila Rayer memberi contoh tentang usul percaya terhadap Menteri Besar Perak dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Jumaat lalu, Azhar menyatakan, beliau tidak terikat dengan apa yang dilakukan oleh mana-mana Yang Dipertua DUN.

Beliau turut membangkitkan usul percaya atau tidak percaya terhadap pemimpin tertinggi kerajaan tidak semestinya ditentukan di dalam Dewan Rakyat atau DUN seperti yang berlaku sebanyak dua kali di Sabah selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Saya dah dengar semua lebih empat bulan. Saya dah jelaskan tindak-tanduk saya ini, kita hentikan di sini sahaja,” jelasnya. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.