Banyak helah, PH tetap gagal halang bajet KASA

272

8 DIS: Biarpun pembangkang cuba membangkitkan pelbagai isu bagi menghalang Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 bagi Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) daripada diluluskan di peringkat jawatankuasa namun usaha itu gagal dan ia lulus menerusi undian suara.

Keputusan undian yang diumumkan oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon itu membolehkan KASA memanfaatkan peruntukan bernilai RM3.56 bilion bagi memperkasakan usaha menjaga alam sekitar dan kelestarian sumber bekalan air mentah di negara ini, pada tahun depan.

Terdahulu, blok pembangkang menerusi Ahli Parlimen PH Petaling Jaya, Marina Chin Abdullah turut gagal dalam usul menghapuskan terus peruntukan tambahan sebanyak RM1.9 juta bagi penganjuran Ekspo Dunia Dubai 2020 yang ditunda ke tahun depan.

Ketika menjawab persoalan dibangkitkan oleh Marina Chin, Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pada mulanya beliau menyangka Ahli Parlimen PH berkenaan mempunyai hujah yang kuat untuk menolak belajawan KASA.

“Saya ingatkan alasan kuat sangat nak tolak bajet ini tetapi rupanya hanya mengenai peruntukan RM1.9 juta untuk penganjuran Ekspo Dunia Dubai 2020 (Ekspo Dubai).

“Kalau alasan itu memang tidak kuat tetapi saya ingin menjelaskan Ekspo Dubai adalah ekspo peringkat antarabangsa yang dimulai sejak 1928 dan berterusan sampai sekarang. Adalah amat penting dan satu bidang tugas utama yang memerlukan KASA terbabit secara langsung dengan penganjuran ekspo kali ini.

“Ekspo Dunia Dubai 2020 adalah ekspo dunia pertama di Asia Barat, Afrika dan Asia Selatan dengan jumlah populasi penduduk 3.2 bilion orang dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melebih AS$6.5 trilion. Ekspo ini bakal menjadi pintu masuk utama pasaran produk Malaysia ke negara membangun dan kerjasama selatan – selatan,” katanya.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata Dubai juga adalah hub perdagangan antarabangsa bagi rantau Asia Barat dan pada 2017, Emeriah Arab Bersatu (UAE) merupakan rakan dagangan utama Malaysia, destinasi eksport terbesar dan sumber import kedua terbesar selepas Arab Saudi di rantau berkenaan.

Tuan Ibrahim berkata, jumlah perdagangan dua hala meningkat 12.6 peratus kepada AS$5.84 bilion atau bersamaan RM25.1 bilion daripada RM22.36 bilion pada tahun sebelumnya.

“Penyertaan Malaysia pada Ekspo Dubai memberi tumpuan kepada perdagangan dan pelaburan sebagai hala tuju utama di mana potensi perdagangan dan pelaburan bernilai RM10 bilion disasarkan.

“Oleh itu pembinaan Pavilion Malaysia yang menyasarkan sejuta pengunjung dengan penyertaan lebih 200 syarikat dan dijangka memperoleh 1,000 padanan perniagaan dan dikunjungi 5,000 delegasi bagi program promosi perdagangan dan memuktamadkan 20 memorandum persefahaman (MoU) di ekspo berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim menjelaskan, peruntukan RM60 juta diperuntukan sebelum ini adalah untuk pembinaan Pavilion Malaysia bukannya untuk penganjuran Ekspo Dubai 2020.

“Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Ekspo Dubai 2020 sepatutnya berlangsung sekarang iaitu dari Oktober hingga Disember 2020 namun ia terpaksa ditangguhkan ke tahun depan.

“Ekspo ini akan berlangsung selama lima bulan dan kos berkenaan bukan hanya membabitkan pembinaan Pavilion Malaysia sahaja tetapi merangkumi pengurusan, pembinaan dan pemantauan, kakitangan yang akan berulang alik dari Malaysia ke sana.

“Sebab itulah Ekspo Dubai 2020 akan berlangsung selama lima bulan iaitu dari September 2021 hingga Mac 2022 bukan hanya sebulan. Ini bermakna peruntukan perlu dilakukan oleh setiap kementerian peruntukan RM1.9 juta adalah hanya untuk program dan seminar diadakan di peringkat antarabangsa yang tidak termasuk dalam bajet RM60 juta di peringkat awal,” katanya.

Tuan Ibrahim ketika menggulung Belanjawan 2021 peringkat jawatankuasa juga, menjelaskan peningkatan peruntukan diberikan kepada kementeriannya adalah kerana KASA adalah sebuah kementerian baharu ditubuhkan.

Ahli Parlimen PAS Kubang Kerian itu berkata bagi tahun 2020 KASA tidak mempunyai peruntukan khusus untuk aktiviti pengurusan kerana kementerian hanya diberikan semasa penguntukan semula 2020 pada Mei lalu selepas penubuhan kementerian baharu.

“Untuk itu peningkatan peruntukan daripada RM26.7 juta kepada RM39.91 juta bagi menampung kepelbagai keperluan sebagai kementerian yang diperuntukan semula sebagai kementerian baharu membabitkan perbelanjaan enrolmen, perolehan aset, sewa bangunan dan pengoperasian kementerian,” katanya ketika menjawab soalan dibangkitkan oleh Ahli Parlimen PH Kuantan, Fuziah Salleh di Dewan Rakyat, sebentar tadi.

Terdahulu, Fuziah membangkitkan persoalan kenapa KASA diberikan peruntukan yang banyak untuk tujuan pengoperasi dan pengurusan kementerian terbabit.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim menjelaskan Unit Jenayah Alam Sekitar (JASA) sudah mula beroperasi mulai Oktober lalu secara pentadbiran dengan mengguna pakai kakitangan agensi sedia ada.

Bagaimanapun, Tuan Ibrahim berkata sehingga kini unit berkenaan bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Jabatan Biokeselamatan di bawah KASA.

“Sehingga kini kita sudah memulakan operasi. Sejak 1 Oktober lalu, Unit Jenayah Alam Sekitar sudah melakukan operasi sebanyak lima kali bersama PDRM,” jelasnya.

Mengenai persoalan dibangkitkan oleh Ahli Parlimen PH Kuala Langat, Datuk Dr Xavier Jayakumar, berhubung punca penutupan loji air rawatan di Selangor, Tuan Ibrahim menjelaskan kebanyakan kes berpunca daripada pencemaran bau. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.