52 peratus individu hilang kerja jatuh miskin

334

8 DIS: Kira-kira 52 peratus daripada 101,385 individu di negara ini yang hilang pekerjaan setakat 3 Disember lalu kini beroleh pendapatan di bawah RM2,000 sebulan sekali gus menjadikan mereka miskin dan miskin tegar.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sehubungan itu, kerajaan memberi tumpuan bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat dan menangani kemiskinan rakyat di bandar dan di luar bandar yang akan sentiasa diberi fokus kepada agenda pembasmian kemiskinan dalam Pelan Pembanganan Negara.

Menurut beliau, kerajaan telah dan sedang melaksanakan usaha memulihkan ekonomi dan sosial merangkumi mengimbangi keperluan ekonomi sosial dan kesejahteraan rakyat terutamanya rakyat yang dikategorikan sebagai miskin.

“Sebagai antara lain bantuan sosial seperti RM2.2 billion yang telah diperuntukkan untuk bantuan bulanan persekutuan untuk tahun 2021 berbanding RM1.5 billion pada tahun ini seperti bantuan pada OKU dan lain-lain kumpulan.

“Kerajaan juga telah meneruskan bantuan sara hidup yang memberi manfaat kepada 4.5 juta penerima dengan peruntukan berjumlah RM5 billion pada tahun 2020,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Muhyiddin menjawab soalan Ahli Parlimen Bersatu Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sama ada kerajaan telah mengenal pasti golongan yang jatuh ke kategori miskin dan miskin tegar secara tiba-tiba akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),

Bagi menjawab soalan tambahan Ahmad Faizal tentang keberkesanan sistem eKasih dan jika kerajaan berhasrat menaiktarafnya, beliau memberitahu, kerajaan akan menyuntik dana berjumlah RM6.8 juta untuk penggunaan teknologi baharu bagi menaik taraf sistem pangkalan data eKasih.

Beliau menambah, langkah itu akan memberi kesan positif ke arah pelbagai usaha dalam mempermudahkan penyaluran bantuan kepada golongan yang memerlukan.

“Sistem eKasih dibangunkan sejak 2007 dan diuruskan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU). Saya sedar sistem lama ini tidak berapa berkesan.

“Sebab itu, langkah-langkah diperkemaskan dengan teknologi baharu bagi memberi data lebih tepat dan usaha dibuat memperkemas kualiti eKasih yang bakal menggunakan kaedah baharu akan digunakan atas nama eKasih tetapi tidak seperti eKasih yang lama,” jelasnya.

Muhyiddin percaya tindakan menaik taraf sistem eKasih itu dapat mengumpulkan maklumat lebih terperinci di seluruh negara agar golongan sasar dapat dibantu. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.