Terjun tinggal bot, dadah RM10 juta dicampak ke laut

126

7 DIS: Cubaan sindiket untuk menyeludup dadah jenis methamphetamine dan ecstasy dianggarkan bernilai RM10.53 juta tidak berjaya selepas perbuatan jenayah mereka dikesan unit risikan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang, minggu lalu

Rampasan terbesar dadah di Pulau Pinang berkenaan dilakukan hasil risikan dan pemantauan dilakukan anggota APMM menerusi Op Pertiwi jam 8.20 malam pada 3 Disember lalu.

Pengarah Maritim Negeri, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai aktiviti penyalahgunaan dan penyeludupan dadah di kawasan berkenaan.

Berikutan itu, Abdul Razak berkata, mereka menemui sebuah bot rekreasi dalam keadaan mencurigakan sebelum mengarahkan pemandunya berhenti.

“Bagaimanapun, bot terbabit terus dipecut dan melakukan pergerakan berbahaya ketika dikejar kira-kira 30 minit .

“Dua daripada suspek yang berada dalam bot dilihat mencampakkan beberapa objek ke laut sebelum terjun manakala bot berkenaan ditinggalkan bergerak sendiri,” katanya pada sidang media hari ini.

Abd Razak berkata, pemeriksaan terhadap objek terbabit menemui lapan beg pakaian mengandungi hablur kristal dipercayai methamphetamine dianggar seberat 240 kilogram (kg).

Katanya, sebuah beg lagi berisi tujuh bungkusan plastik lutsinar mengandungi pil pelbagai saiz dan warna disyaki ecstasy seberat 9.3 kg

Beliau berkata, bot dengan dua enjin sangkut bernilai RM150,000 itu turut dirampas, menjadikan nilai rampasan keseluruhan kepada RM10.68 juta.

“Dua suspek lelaki berusia dalam lingkungan 30-an yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri itu dapat ditahan.

Katanya, mereka memakai jaket keselamatan dan terapung di laut sebelum diselamatkan oleh nelayan di Pulau Betong dan Sungai Pinang sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa kira-kira 10 jam kemudian.

“Kedua-dua suspek warga asing tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan sudah diserahkan kepada polis bagi tindakan lanjut,” katanya.

Abd Razak berkata, dadah berkenaan dipercayai dibawa masuk dari negara jiran dan kedua-dua suspek direman 12 hari sehingga 17 Disember ini bagi membantu siasatan.

Hasil rampasan diserah kepada Pegawai Penyiasat Maritim Negeri Pulau Pinang dan siasatan dibuat di bawah Seksyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.