Shah Alam makan ubat barangkali, Bung tanya Khalid

3,725

7 DIS: Kekecohan tercetus dalam sidang Dewan Rakyat pagi tadi ekoran gangguan yang dicetuskan oleh pembangkang semasa Ahli Parlimen BN Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kerja Raya.

Mereka tidak berpuas hati apabila Timbalan Ketua Menteri I Sabah itu menempelak dasar pentadbiran kerajaan terdahulu di bawah Pakatan Harapan (PH) dan Parti Warisan Sabah (Warisan) yang melambatkan pelaksanaan projek Lebuh Raya Pan Borneo di negeri itu.

Antara yang bangkit mencelah ialah Ahli Parlimen PH Shah Alam, Khalid Abdul Samad; Ahli Parlimen PH Sepang, Mohamed Hanipa Maidin dan Ahli Parlimen Warisan Kalabakan, Ma’mun Sulaman.

Gangguan yang berterusan daripada Khalid menyebabkan Bung Moktar bertanya sama ada Ketua Penerangan Parti Amanah Negara (PAN) itu memakan ubat hari ini.

“Eh.. apa ini? Shah Alam makan ubat barangkali, Shah Alam ini?” katanya.

Terdahulu, Bung Moktar mencadangkan agar kerajaan Persekutuan membenarkan kerajaan negeri Sabah menjalankan keseluruhan pakej Lebuh Raya Pan Borneo di negeri itu secara inisiatif kewangan swasta (PFI).

Beliau percaya langkah itu membolehkan pembinaan kemudahan lebuh raya yang lebih baik sekali gus memberi manfaat kepada rakyat Sabah.

“Rakyat Sabah benar-benar dahagakan lebuh raya, jalan raya yang baik.

“Pan Borneo di Sabah cuma 20 lebih peratus, di Sarawak sudah 65 peratus. Perancangan dicadangkan dibatalkan oleh PH dan diskong oleh Warisan. Ini masalah kita. Siapa yang batalkan projek itu?” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.