Proses sertu di Alamanda dipantau Jakim

165

7 DIS: Selepas dimasuki seekor babi hutan tengah hari semalam, pusat beli-belah Alamanda, Putrajaya meneruskan operasi seperti biasa kecuali sebuah premis perniagaan yang ditutup buat sementara waktu.

Alamanda dalam kenyataan hari ini berkata, penutupan itu bertujuan memberi laluan kepada kerja-kerja pembersihan menyeluruh dan sertu yang mematuhi hukum-hukum Islam, dengan panduan rapi Jabatan Kemajuan Islam (Jakim).

Ini termasuk tindakan membuang pakaian-pakaian yang dikenal pasti “tercemar” susulan pencerobohan haiwan liar itu.

Menurut pengurusan Alamanda, kawasan ruang legar di pusat beli-belah berkenaan, terutama tempat-tempat babi hutan itu dilihat semalam, juga dibersihkan dan disanitasi.

“Alamanda menjangka kejadian semalam tidak memberikan sebarang kesan kepada perniagaan di pusat ini, kerana kes berkenaan berjaya dikawal dengan baik, dan Alamanda akan tetap dibuka serta terus beroperasi seperti biasa,” menurut kenyataan itu.

Menurut pengurusan Alamanda, babi hutan itu dilihat memasuki Alamanda sekitar pukul 12.20 tengah hari dari kawasan tempat letak kereta di P3, yang dipercayai terlepas dari kawasan hutan yang berhampiran.

Kata kenyataan itu, pihak keselamatan cuba menghalau babi hutan itu keluar dari kawasan berkenaan, namun haiwan liar itu lari dan masuk ke dalam sebuah kedai di tingkat bawah.

Pasukan bomba dan penyelamat Putrajaya dipanggil sebaik sahaja pihak pengurusan Alamanda dimaklumkan mengenai insiden itu.

Menurutnya, pengunjung kedai itu telah keluar sebelum ketibaan bomba bagi menangani keadaan, dan pada kira-kira 1.05 tengah hari, bomba berjaya mengeluarkan haiwan itu keluar dari Alamanda.

“Tiada yang lebih penting bagi kami selain keselamatan dan kepentingan pengunjung, peruncit serta para petugas, semasa kami terus mengambil langkah-langkah yang perlu bagi memastikan keselamatan komuniti kita terjamin,” menurut kenyataan berkenaan.

Sementara itu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) pula dalam satu kenyataan berasingan berkata pihaknya akan memasang perangkap di persekitaran berhampiran kawasan pusat beli-belah Alamanda, bagi mengawal populasi haiwan liar itu.

Menurut Perhilitan, hasil siasatan bersama Unit Hidupan Liar PPj mendapati babi hutan yang memasuki Alamanda itu berasal dari kawasan berhampiran Tasik Presint 16 dan telah tersesat dari kumpulannya.

Perbadanan Putrajaya dan Pengurusan Alamanda, Putrajaya akan menambah baik pengurusan sampah bagi mengelakkan kehadiran Babi Hutan pada masa akan datang, kata Perhilitan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.